RON95 RM1.99 Seliter: Polis, Tentera Terima Subsidi Awal Bermula 27 September – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Perhimpunan Bulanan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada 22 September 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 22 Sep – Kerajaan menetapkan untuk menawarkan pemberian subsidi RON95 menerusi inisiatif BUDI95 kepada golongan polis dan tentera lebih awal pada 27 September berbanding tarikh ditetapkan kepada warganegara iaitu pada 30 September depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, susulan itu, polis dan tentera akan menikmati RON95 dengan kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.05 seliter sebagai langkah percubaan.

“Maknanya pada 27 September, semua anggota polis dan tentera dengan lesen memandu sah boleh memulakan (inisiatif itu).

“Jadi, kita lihat sekitar 300,000 rakyat itu sebagai langkah percubaan supaya ia terkawal.

“Pada 28 September pula, semua penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) boleh menikmati kadar RM1.99 seliter pula,” katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di sini hari ini.

Anwar berkata, lebih 16 juta rakyat Malaysia akan menerima manfaat daripada penurunan harga petrol RON95 dengan semua warganegara dengan lesen memandu sah layak untuk menikmati subsidi bahan bakar itu.

“Kita putuskan untuk meletakkan kadar RON95 daripada RM2.05 kepada RM1.99 seliter bermula 30 September 2025 dan saya juga sebutkan manfaat dan keistimewaan ini hanya sebagai penghargaan semangat dari Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia, jadi penghargaan kepada rakyat Malaysia seluruhnya.

“Mulai 30 September (juga), bukan warganegara dan syarikat besar tidak layak terima subsidi kerana ikut perseorangan, itu bermula 30 September pada harga RM2.60,” katanya.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *