RMK13: STIZ Dibangunkan Di Empat Kawasan Khas Cipta Produk Pelancongan Baharu – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 31 Julai 2025. Foto Bernama
KUALA LUMPUR, 31 Jul – Sebanyak empat zon khas pelaburan pelancongan (STIZ) akan dibangunkan khususnya di Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Sarawak sebagai pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baharu negara, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menurut Perdana Menteri, industri pelancongan negara kini sudah kembali segar menerusi perbelanjaan pelancong asing dalam negara yang melonjak kepada RM102.2 bilion tahun lalu, mencetuskan STIZ sebagai salah satu pemacu ekonomi negara.
“Sehubungan itu, kerajaan akan memberi tumpuan kepada inisiatif pembangunan STIZ dengan kerjasama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, pihak swasta dan koperasi.

“Zon ini akan menjadi pemangkin kepada penciptaan produk pelancongan baharu seperti pelancongan berasaskan aset seni, budaya dan warisan serta alam semula jadi.
“Sebagai contoh tapak Tamadun Sungai Batu di Kedah, Lembah Lenggong dan Gua Niah yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO),” katanya ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.

Perdana Menteri berkata, dalam membangunkan sektor pelancongan, industri inap desa (homestay) juga akan diperkasa bagi melebarkan limpahan ekonomi dari bandar sehingga ke desa.
“Tahun Melawat Malaysia 2026 akan menjadi pemangkin penting ke arah mencapai sasaran sumbangan sektor pelancongan sebanyak 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sepanjang tempoh RMK13,” katanya.

Terdahulu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memulakan pembentangan RMK13 kira-kira jam 12.10 tengah hari dan berakhir jam 1.47 petang.
STIZ – Special Tourism Investment Zone
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
