RMK13: Kerajaan Guna MyDigital ID Sebagai Pengesahan Identiti Tunggal – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 31 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 31 Jul – Sistem MyDigital ID akan digunakan sebagai satu bentuk pengesahan identiti digital tunggal yang sahih, selamat dan dipercayai di bawah inisiatif pendigitalan perkhidmatan awam melalui platform Government Technology (GovTech), umum Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata, langkah ini bertujuan memudahkan rakyat mengakses pelbagai kemudahan awam secara dalam talian dengan lebih cekap, pantas dan selamat.
“Di bawah usaha pendigitalan perkhidmatan awam melalui GovTech, MyDigital ID akan diperkenalkan sebagai kunci pengesahan identiti digital tunggal yang selamat dan sahih, bagi memudahkan akses kepada pelbagai kemudahan awam dalam talian.
“(Dalam masa yang sama), gerbang tunggal sektor awam juga akan dibangunkan sebagai platform sehenti bagi memudahkan urusan rakyat,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, langkah berkenaan juga akan memastikan jenayah dalam talian dapat dikurangkan dengan pengesahan identiti dalam mengakses platform kerajaan dan agensi secara selamat.
Beberapa kementerian dijangka akan menggerakkan kempen pendaftaran, pendidikan dan pemahaman kepada rakyat bagi memastikan keselamatan dalam talian dapat dipertingkatkan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
