RMK13: PM Anwar Komited Tangani Kesenjangan Antara Wilayah

Menangani kesenjangan antara wilayah antara tumpuan utama Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang dibentang Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 31 Julai 2025.
KUALA LUMPUR, 31 Jul – Menyedari bahawa kesenjangan pembangunan antara wilayah masih wujud, kerajaan terus komited menangani jurang berkenaan bagi memastikan rakyat di desa termasuk di negeri kurang membangun, menerima limpahan manfaat pembangunan secara adil, menyeluruh dan inklusif, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Menerusi pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata, tumpuan akan diberikan kepada usaha memperkukuh infrastruktur asas, merangsang aktiviti ekonomi dan menggalakkan pelaburan strategik, terutama di desa dan kawasan pembangunan.
Sehubungan itu, pelaburan berimpak tinggi akan diperluas ke luar kawasan tumpuan, termasuk di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping dan Pelabuhan Darat Perlis; Taman Perindustrian Hijau Bersepadu, Kerian dan Bandar Perindustrian Maritim Lumut di Perak.

Selain itu, pelaburan berkenan akan turut diperluaskan ke Taman Perindustrian Tok Bali, Kelantan dan Taman Perindustrian Kota Kinabalu, Sabah.
“Pembangunan infrastruktur berskala besar juga kekal sebagai keutamaan demi memperkukuh keterhubungan antara wilayah serta merangsang pertumbuhan kawasan sekitar secara terancang.
“Antara projek yang dilaksanakan, termasuk pembinaan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Kelantan, Terengganu, Pahang dengan pantai barat Semenanjung.

“Selain itu, Landasan Berkembar Gemas-Johor Bahru dan Transit Laju Autonomi Bertingkat (E-ART) Johor Bahru serta Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang,” katanya.
Jelas Perdana Menteri, perkhidmatan pengangkutan awam yang bersepadu di bandar utama akan terus ditambah baik bagi meningkatkan ketersambungan batuan pertama dan akhir melalui tambahan 300 unit van transit responsif atas permintaan (DRT) dan tambahan 1,200 unit bas.
Manakala kekerapan perkhidmatan tren penumpang juga akan ditingkatkan melalui penambahan 217 set tren penumpang, selain memastikan akses yang lebih lancar melalui naik taraf laluan sedia ada serta pembinaan jalan baharu.

Antara projek tumpuan termasuk menaik taraf Lebuhraya PLUS laluan Senai Utara-Machap, Johor dan Juru-Sungai Dua, Pulau Pinang; pembinaan Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU), Pahang dan Kelantan; Lebuhraya Pan Borneo Sabah serta Lebuhraya Trans Borneo di Sarawak.
“Selain itu, jalan luar bandar juga turut diberi perhatian, antaranya pembinaan dan naik taraf jalan luar bandar sepanjang 2,800 kilometer (km) juga akan dilaksanakan, termasuk jalan utama dari Nanga Serau ke Nanga Seranau, Kapit, Sarawak; jalan dari jambatan Sungai Air Tawar ke Hutan Melintang, Bagan Datuk, Perak dan jalan Pos Sinderut, Lipis, Pahang.
“Pada masa sama, inisiatif ‘road-to-rail’ bagi memindahkan sebahagian besar pergerakan kargo daripada jalan raya akan meningkatkan kadar penggunaan landasan daripada enam kepada 13 peratus, sekali gus risiko kemalangan jalan raya dapat dikurangkan,” katanya.

Perdana Menteri berkata, kerajaan juga akan memberi tumpuan khusus untuk memposisikan Sabah dan Sarawak sebagai hab tenaga mampan negara yang berdaya saing di peringkat serantau.
“Pelaksanaan inisiatif seperti Hab Hidrogen Sarawak dan Jaminan Bekalan Tenaga Sabah secara tidak langsung akan memperkukuh infrastruktur tenaga di kedua-dua negeri.
“Usaha ini turut membuka pelaburan berimpak tinggi, penciptaan pekerjaan bernilai tinggi dan pembangunan teknologi bersih demi manfaat rakyat Sabah dan Sarawak.

“Bagi Pantai Timur iaitu Kelantan, Pahang dan Terengganu, pembangunan akan dipacu melalui pewujudan hab pengeluaran makanan negara yang bersepadu dan berdaya saing, sekali gus menjana peluang ekonomi baharu khususnya kepada penduduk desa,” katanya.
Kerajaan juga katanya, akan meneruskan Inisiatif Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI sebagai pendekatan bersepadu yang digerakkan kementerian dan agensi bersama-sama badan korporat, syarikat swasta dan komuniti setempat mengikut keperluan dan permintaan komuniti di akar umbi.
“Kerajaan menyasarkan pelaksanaan 200 Kampung Angkat MADANI dan 1,000 Sekolah Angkat MADANI,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
