RMK13 Platform Terbaik Karyawan Angkat Imej Negara Dengan Kandungan Berkualiti

Pengiktirafan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengangkat Ekonomi Jingga sebenarnya membuka lembaran baharu dalam usaha negara memperkasa industri kreatif tempatan sebagai pemangkin ekonomi dan wadah diplomasi budaya serantau dan antarabangsa. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 2 Ogos – Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) turut tidak ketinggalan memastikan aspek kesenian dan ekonomi digital menjadi antara penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi tempoh lima tahun mendatang.
Justeru, karyawan tempatan digesa merebut peluang yang terhidang dalam industri kreatif seperti filem, muzik dan animasi hasil cadangan serta sesi libat urus antara Kementerian Komunikasi dan Kementerian Ekonomi dalam laporan akhir RMK13.
Satu kerangka jelas perlu diwujudkan di kalangan karyawan tempatan bagi mengangkat karya berkualiti menerusi insiatif Ekonomi Jingga terutamanya menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026 bermula tahun depan.
Pengiktirafan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mengangkat Ekonomi Jingga sebenarnya membuka lembaran baharu dalam usaha negara memperkasa industri kreatif tempatan sebagai pemangkin ekonomi dan wadah diplomasi budaya serantau dan antarabangsa.
“Dana Padanan dan Dana Produksi Bersama akan dilaksanakan bagi menggalakkan pelaburan bersama antara kerajaan dan sektor swasta dalam penghasilan kandungan bertaraf global.
“Industri kreatif digital negara telah menjana pendapatan berjumlah RM6.3 bilion, dengan nilai eksport mencecah RM850 juta,” katanya.
Semua pihak berkaitan ekonomi digital dan globalisasi kandungan termasuk para karyawan memainkan peranan amat penting bukan sahaja sebagai penyumbang hasil seni, malah sebagai duta tidak rasmi yang membawa imej Malaysia ke pentas antarabangsa.
Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) umpamanya, perlu mempergiat inisiatif mencungkil bakat-bakat baharu dalam bidang kesenian dan ekonomi digital tanpa perlu menunggu arahan mana-mana pihak kerana janaan hasil mampu mencecah ratusan juta ringgit setahun.
Ini kerana, melalui RMK13, kerajaan komited menyediakan ekosistem yang kondusif kepada para karyawan menerusi insentif penghasilan kandungan berkualiti tinggi, latihan kemahiran kreatif berteraskan teknologi baharu serta peluang kerjasama rentas sempadan.
Fokus terhadap pembangunan kandungan digital, termasuk animasi, filem, muzik, seni persembahan dan penulisan kreatif memberi ruang kepada lebih ramai bakat tempatan untuk tampil ke hadapan dan menjadikan karya mereka relevan di peringkat dunia.
Selain daripada menyumbang kepada ekonomi kreatif, kandungan yang berkualiti tinggi juga mampu membina naratif nasional yang progresif, harmoni dan inklusif selaras dengan nilai Malaysia MADANI.
Ia menjadi alat memperkenalkan budaya, sejarah dan identiti Malaysia secara positif kepada masyarakat global, sekali gus mengukuhkan kedudukan negara sebagai hab kandungan kreatif di rantau Asia Tenggara.
Kita mahu RMK13 bukan sahaja menjanjikan pembangunan fizikal dan ekonomi, malah menjadi platform penting untuk karyawan tempatan menyerlahkan kreativiti dan membentuk citra Malaysia sebagai negara yang kaya dengan warisan budaya dan berdaya cipta.
Zaman kegemilangan Tan Sri P Ramlee dan industri perfileman Melayu wajar menjadi penanda aras bagi penggiat seni tempatan meneroka perspektif baharu dalam kita menangani ledakan pengaruh seni luar seperti Korea Selatan dan Amerika Syarikat.
Inilah masanya para karyawan membuktikan bahawa seni Malaysia mampu mencetuskan keamanan, ketenangan dan kesejahteraan bagi masyarakat global seluruhnya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


