RMK13: Peruntukan RM40 Bilion Ditambah Sokong Perkhidmatan Kesihatan Rakyat

KUALA LUMPUR, 31 Jul – Pembentangan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) yang menekankan kepentingan penjagaan kesihatan dengan peruntukan sebanyak RM40 bilion antara 2026 hingga 2030 menerima reaksi positif daripada rakyat.
Perbelanjaan sebesar itu mampu mengurangkan kos penjagaan kesihatan rakyat dalam masa sama meningkatkan taraf dan kualiti perkhidmatan kesihatan menerusi sasaran yang telah ditetapkan kerajaan.

Menurut penganalisis politik Mohamad Fudhail Samilan, langkah tersebut bertepatan dengan usaha mengurangkan beban petugas kesihatan dengan penambahan hospital baharu seperti Hospital Tuanku Jaafar 2 (HTJ2) di Seremban, Negeri Sembilan dan Hospital Sultanah Aminah 2 (HSA2), Johor Bahru, Johor.
Turut diumumkan ialah pembinaan Pusat Kanser Wilayah Utara di Sungai Petani, Kedah serta pembinaan Pusat Kanser Sarawak di Kuching.
“Penambahan fasiliti kesihatan baharu bagi menampung pesakit dapat mengurangkan beban petugas kesihatan namun dalam masa sama, insentif kepada mereka juga boleh diselaraskan bertujuan mengurangkan penghijrahan pakar ke sektor swasta atau ke negara jiran seperti Singapura.
“Saya berharap Kementerian Kesihatan (KKM) dapat mempertingkatkan pengambilan pakar dan doktor di hospital kerajaan dengan menambah baik kemudahan serta manfaat agar mereka tidak beralih kepada (sektor) swasta dan menggagalkan sistem perkhidmatan kesihatan kerajaan,” katanya.
Pengumuman tersebut juga disambut baik seorang peniaga, Rosnah Talib yang menyifatkan bantuan kerajaan dalam sektor berkenaan mampu mengurangkan beban rakyat dalam penjagaan kesihatan.
“Memang bagus sebab banyak rakyat yang tak mampu dari segi perubatan, jadi kalau kerajaan membantu, syukur Alhamdulillah”, katanya.
“Cukup bagus sebab golongan B40 ni kumpulan sasaran yang sangat besar, jadi pengumuman PM tu dapat mengurangkan beban mereka”, kata Ali Abdul Razak, yang juga seorang peniaga.
“Setuju kerajaan nak mengurangkan kos perkhidmatan kesihatan sebabnya tak semua rakyat berkemampuan dan perkhidmatan kesihatan ini adalah penting”, kata pekerja swasta, Nurul Aisyah Maseri.
Pada pembentangan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar juga mengumumkan projek pembinaan serta naik taraf hospital dan klinik daif akan dipertingkat bagi menyediakan perkhidmatan kesihatan yang lebih baik kepada rakyat.

Antara lain, penghasilan ubat-ubatan akan diperkasa dalam negara bagi menjamin bekalannya stabil sekali gus mengurangkan pergantungan kepada bekalan import serta meningkatkan pendigitalan kesihatan di kesemua fasiliti kesihatan dari segi rekod kemasukan, pendaftaran pemeriksaan berkala dan kesaling hubungan dengan pangkalan data kesihatan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


