Doa PM Anwar Gempa Kuat Di Russia Berlalu Sepenuhnya

Keadaan tsunami yang melanda Severo-Kurilsk di kawasan Paramushir, utara Pulau Kuril, Russia susulan gempa bumi dengan kekuatan magnitud 8.8 pada 30 Julai 2025. Foto AFP
KUALA LUMPUR, 31 Jul – Gempa bumi kuat dengan magnitud 8.8 yang melanda timur jauh Russia baru-baru ini mendorong Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan doa agar bahaya akibat gempa antara terkuat pernah direkodkan itu, telah berlalu sepenuhnya.
Menerusi hantaran di Facebook hari ini, Perdana Menteri berkata, beliau bersyukur tiada kemalangan jiwa yang serius atau kerosakan meluas dilaporkan susulan bencana itu setakat ini serta merasa lega dengan perkembangan itu.
Penghargaan juga jelas Anwar, wajar diberikan kepada sistem amaran awal dan pasukan kecemasan yang bertindak pantas untuk melindungi nyawa jutaan rakyat di beberapa negara.
“Gempa bumi besar di pesisir timur jauh Russia, antara yang terkuat pernah dicatat dan telah menimbulkan kebimbangan mendalam.
“Saya turut mengikuti amaran tsunami di seluruh kawasan Pasifik dengan penuh debaran, malah menyedari betapa besar risikonya terhadap komuniti dari Kamchatka hinggalah ke Jepun, Guam dan kawasan sekitar.
“Fikiran dan doa saya bersama semua yang menempuh detik cemas menantikan berita, dan saya berharap segala bahaya kini sudahpun berlalu sepenuhnya,” katanya.

Terdahulu, gempa bumi antara terkuat pernah direkodkan, telah melanda kawasan timur jauh Russia, sekali gus mencetuskan gelombang tsunami hingga setinggi empat meter merentasi Lautan Pasifik.
Malah, ia menyebabkan pemindahan penduduk dari Hawaii hingga ke Jepun termasuk seorang warganya dilaporkan terkorban susulan tsunami melanda pantai Hokkaido.
Gempa bumi itu berlaku pada jam 8.24 pagi waktu tempatan (2304 GMT Selasa) di luar pesisir Petropavlovsk di Semenanjung terpencil Kamchatka, turut mencetuskan amaran tsunami di Indonesia, Filipina, Taiwan dan negara-negara di perairan Lautan Pasifik.

Ia merupakan antara 10 gempa paling kuat yang pernah direkodkan, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) pada Selasa.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
