Perjanjian Tarif AS-Malaysia Dijangka Dimuktamad Esok

Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung menerusi panggilan telefon pada 31 Julai 2025 menjelang pengumuman tarif pada 1 Ogos 2025. Foto Bloomberg/AFP

KUALA LUMPUR, 31 Jul – Satu perjanjian bagi mengurangkan kadar tarif Amerika Syarikat (AS) kepada maksimum 20 peratus atau serendah 15 peratus bagi produk Malaysia ke negara itu dijangka diumumkan selewat-lewatnya esok.

Ia susulan perbualan telefon antara Presiden AS, Donald Trump dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jam 6.50 pagi tadi, hanya sehari sebelum tarikh akhir penguatkuasaan tarif 25 peratus terhadap eksport Malaysia ke negara itu.

Menurut laporan portal berita Singapura, The Straits Times, difahamkan Malaysia bersetuju dengan beberapa isu tertunggak termasuk berhubung pengiktirafan pensijilan halal AS dan bekalan nadir bumi, iaitu mineral penting yang digunakan dalam teknologi canggih.

“Panggilan itu dibuat, awal pagi ini, selepas dicadangkan oleh pihak AS beberapa jam sebelumnya,” kata seorang pegawai kanan Kerajaan Malaysia yang tahu mengenai perkara itu.

Anwar turut mengesahkan panggilan telefon itu dalam ucapannya di Parlimen ketika membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) tengah hari tadi.

“Selepas perbincangan dan penjelasan yang saya berikan, beliau (Trump) bersetuju untuk menangguhkan pengumuman kadar tarif kepada esok,” ujar Anwar.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membentangkan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) bertemakan ‘Melakar Semula Pembangunan’ di Dewan Rakyat, Kuala Lumpur pada 31 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Terdahulu, Perdana Menteri turut memaklumkan Presiden Trump mengesahkan akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur pada Oktober depan.

Pentadbiran Trump sebelum ini mencapai persetujuan dengan beberapa negara Asia lain termasuk Indonesia, Jepun, Filipina, Korea Selatan dan Vietnam menjelang tarikh akhir esok.

Rundingan antara negara-negara berkenaan masih berlanjutan hingga ke saat-saat akhir bagi memuktamadkan kadar yang munasabah serta penguatkuasaan yang perlu dilakukan.

Menurut beberapa pegawai perdagangan dan ekonomi Malaysia, negara ini bersedia untuk mengiktiraf pensijilan halal AS bagi beberapa produk termasuk farmaseutikal, selepas proses pensijilan terbabit diteliti serta disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Malaysia juga dijangka membekalkan unsur nadir bumi kepada AS kerana negara ini memiliki lebih 16 juta tan simpanan nadir bumi dengan nilai dianggarkan mencecah RM1 trilion.

Ketika ini, kebanyakan bijih nadir bumi di Malaysia dieksport ke China, memandangkan negara ini kekurangan teknologi untuk memprosesnya.

AS meletakkan usaha memperoleh nadir bumi sebagai komponen utama dalam strategi keselamatan nasional, tatkala China menguasai pengeluaran mineral itu.

Nadir bumi digunakan dalam pelbagai peralatan teknologi termasuk telefon bimbit, penjana kuasa dan teknologi pertahanan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *