RMK-13: PM Anwar Bentang Di Dewan Rakyat Jam 12 Tengah Hari

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat jam 12 tengah hari ini 31 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 31 Jul – Seluruh negara kini menantikan Pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) di Dewan Rakyat jam 12 tengah hari ini yang akan disampaikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menerusi hantaran di Facebook pada Rabu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, RMK-13 akan membawa natijah terbaik kepada rakyat serta meletakkan asas yang kukuh untuk Malaysia melangkah ke dekad yang lebih gemilang.

“Ayuh kita lakar semula pembangunan negara, berpaksikan rakyat dan berteraskan nilai ihsan, keadilan serta kemanusiaan.

“Diharapkan kita berupaya menggapai langit, namun tetap teguh mengakar ke bumi,” katanya.

Dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri memaklumkan beliau telah menerima penyerahan rasmi dokumen RMK-13, menandakan berakhirnya fasa penyediaan rancangan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030.

Jelas beliau, RMK-13 disusun sebagai pelan pembangunan menyeluruh dengan fokus kepada pengangkatan martabat rakyat secara adil dan saksama tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan.

“Penyediaannya melibatkan sesi libat urus meluas bersama pelbagai pemegang taruh merentasi sektor, latar belakang dan wilayah.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima dokumen rasmi RMK-13 daripada Pemangku Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Perdana Putra, Putrajaya pada 30 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Ini termasuk kerajaan-kerajaan negeri, demi memastikan suara rakyat benar-benar diangkat dalam perancangan masa depan negara.

“Insya-ALLAH saya akan membentangkan usul RMK-13 di Dewan Rakyat esok (hari ini),” ujarnya.

Anwar turut menyatakan bahawa Kerajaan MADANI mengalu-alukan perbahasan dan cadangan konstruktif daripada semua ahli Parlimen demi memperkukuh dasar serta hala tuju yang digariskan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima dokumen rasmi RMK-13 daripada Pemangku Menteri Ekonomi Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Perdana Putra, Putrajaya pada 30 Julai 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Ini termasuk memastikan konsep keadilan dan pembahagian pembangunan negara berada di landasan tepat memacu pertumbuhan ekonomi sepanjang tempoh berkenaan.

Dokumen RMK-13 dijangka menyentuh pencapaian ekonomi semasa dan memberi panduan hala tuju kerangka Ekonomi MADANI bagi tempoh lima tahun akan datang.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, RMK13 akan memberi penekanan kepada usaha meningkatkan pendapatan negara dan rakyat, selari dengan kerangka Ekonomi MADANI.

Ujarnya, prinsip utama yang mendasari RMK13 ialah konsep ‘raising the ceiling and raising the floor’ iaitu strategi jangka sederhana lima tahun untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memastikan kesejahteraan rakyat.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *