Pertingkat Aspek Keselamatan Di Sabah Bagi Kemudahan Pelancong

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bersama Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) membawa para diplomat dan perwakilan asing ke Zon Selamat Sabah Timur (ESS Zone) untuk melihat dan menilai sendiri situasi sebenar di lapangan pada 5 Julai 2025. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
BINTULU, 17 Ogos – Aspek keselamatan di Sabah dan kawasan pelancongan sekitarnya harus diperketatkan bagi memastikan keselamatan pelancong dari dalam dan luar negara yang berkunjung ke Negeri di Bawah Bayu sempena Tahun Melawat Malaysia 2026, kata Menteri Pelancongan Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) Datuk Seri Tiong King Sing.
Ahli Parlimen Bintulu itu berkata, bagi tujuan itu, pihak berkuasa Sabah disyorkan supaya meningkatkan tindakan yang diperlukan bagi menaikkan imej pelancongan di negeri itu.

“Susulan operasi penguatkuasaan laut dan darat bersama selama dua hari, MOTAC telah mengadakan pertemuan dengan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar (KePKAS) Sabah dan agensi penguatkuasaan berkaitan bagi menangani isu keselamatan pelancongan, operasi haram serta penguatkuasaan di Sabah.
“Dalam mesyuarat itu, saya telah membangkitkan beberapa kelemahan serius berhubung aspek keselamatan pelancongan di Sabah, yang mana keselamatan pelancong dilihat tidak dilindungi secukupnya,” ujarnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Statistik katanya, menunjukkan antara 2023 dan Julai 2025, Sabah merekodkan beberapa kemalangan berkaitan pelancongan yang menyebabkan banyak kematian dan kecederaan berlaku.
Pada tahun 2023 sahaja ujarnya, terdapat 14 insiden yang mengakibatkan enam kematian dan sembilan kecederaan, manakala pada 2024, 11 insiden dengan sembilan kematian dan 28 kecederaan, manakala pada 2025 (sehingga Julai), 23 insiden dengan masing-masing dua kematian dan kecederaan.

Kemalangan yang kerap ini tegasnya, menyerlahkan pengurusan keselamatan yang lemah dan pengawasan kawal selia sekali gus menjejaskan keyakinan pengembara dan reputasi pelancongan antarabangsa Sabah.
Tiong berkata, sepanjang operasi penguatkuasaan selama dua hari itu, beliau sendiri telah mengetuai pegawai Bahagian Pelesenan dan Penguatkuasaan Pelancongan (BPPP), bersama pihak imigresen, polis dan agensi lain yang berkaitan menjalankan pemeriksaan di kawasan sekitar Tawau.

Operasi itu ujarnya, mendapati amalan haram berleluasa, termasuk bas pelancong yang terlebih muatan tanpa pemandu pelancong, warga asing menyewa lesen tempatan dan beroperasi di belakang tabir, penyelam warga asing yang bekerja secara haram, kenderaan bukan pelancongan membawa penumpang dan bot beroperasi tanpa kelulusan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
