Ringgit Terus Naik, RM4.04 Sedolar, Tertinggi Hampir Lima Tahun

Ringgit melonjak kepada 4.0425/0515 berbanding dolar AS daripada 4.0615/0665 pada penutupan 23 Disember 2025.
KUALA LUMPUR, 24 Dis – Ringgit meneruskan momentum kenaikan apabila ditutup lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, mencecah paras 4.04, tertinggi dalam tempoh hampir lima tahun, selepas data terkini menunjukkan keyakinan pengguna di AS kekal lemah.
Pada jam 6 petang, mata wang tempatan melonjak kepada 4.0425/0515 berbanding dolar AS daripada 4.0615/0665 pada penutupan semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata badan pemikir AS, Conference Board, melaporkan bahawa indeks keyakinan pengguna AS susut kepada 89.1 mata pada Disember daripada 92.9 mata pada November, lebih rendah daripada anggaran konsensus 91.7 mata.
“Ini menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) mungkin mengubah pendirian pelonggaran monetari melebihi 25 mata asas pada 2026,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, ringgit meneruskan trend pengukuhan hari ini, dengan Indeks Dolar AS (DXY) susut 0.08 peratus kepada 97.863 mata.
Sementara itu, di peringkat tempatan, Bursa Malaysia Bhd dan anak syarikatnya akan ditutup pada 25 Disember 2025 sempena Hari Krismas, serta pada 1 Januari 2026 bagi cuti Hari Tahun Baharu. Operasi akan disambung pada hari berikutnya selepas setiap cuti umum tersebut.
Bagaimanapun, bursa itu memaklumkan bahawa pasaran utama Bursa Gold Dinar (BGD) dan Bursa Suq Al-Sila (BSAS) akan kekal dibuka untuk dagangan sepanjang tempoh cuti umum.
Pada penutupan hari ini, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding euro kepada 4.7697/7804 daripada 4.7901/7960 pada penutupan Selasa, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4647/4768 daripada 5.4851/4918, serta naik sedikit berbanding yen Jepun kepada 2.5940/5999 daripada 2.6039/6072.
Ringgit juga diniagakan lebih tinggi berbanding mata wang serantau ASEAN.
Ia mengukuh berbanding baht Thailand kepada 13.0277/0639 daripada 13.0486/0705, meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 241.0/241.8 daripada 241.9/242.3 sebelum ini, naik berbanding peso Filipina kepada 6.88/6.90 daripada 6.90/6.91, serta mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1506/1578 daripada 3.1607/1648.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
