Ringgit Meningkat Didorong Sentimen Positif Matawang Asia

Pada jam 6 petang 13 Mei 2026, ringgit meningkat kepada 3.9285/9325 berbanding dolar AS daripada 3.9320/9360 ketika ditutup pada 12 Mei 2026.
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Ringgit menutup urus niaga Rabu dengan mencatat pengukuhan berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan beberapa mata wang utama lain, disokong oleh peningkatan sentimen terhadap mata wang Asia menjelang pertemuan penting Presiden AS, Donald Trump dan Presiden China, Xi Jinping minggu ini.
Pada jam 6 petang, ringgit meningkat kepada 3.9285/9325 berbanding dolar AS daripada 3.9320/9360 ketika ditutup pada Selasa.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mata wang Asia dilihat mengukuh berbanding dolar AS ketika pasaran memberi tumpuan kepada pertemuan AS-China yang dijadualkan pada 14 hingga 15 Mei 2026.

“Pasaran kelihatan mengharapkan hasil positif daripada mesyuarat itu, terutama mengenai isu membabitkan perang di Iran serta Selat Hormuz,” katanya.
Bagaimanapun, beliau berkata keadaan pasaran kekal tidak menentu dan sentimen boleh berubah dengan pantas kepada pendekatan mengelak risiko.
Dalam pada itu, tumpuan turut terarah kepada pengumuman prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2026, dengan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mengunjurkan ekonomi negara berkembang 5.3 peratus bagi tempoh berkenaan.
Ringgit turut mencatat prestasi bercampur-campur berbanding kumpulan mata wang utama lain.
Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 2.4888/4916 daripada 2.4952/4979, naik berbanding pound Britain kepada 5.3105/3160 daripada 5.3231/3286, serta mengukuh berbanding euro kepada 4.5987/6034 daripada 4.6189/6236.
Bagaimanapun, ringgit kebanyakannya susut berbanding mata wang serantau.
Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0872/0906 daripada 3.0888/0922, namun susut berbanding rupiah Indonesia kepada 224.7/225.1 daripada 224.3/224.6, turun berbanding peso Filipina kepada 6.40/6.41 daripada 6.39/6.41 serta rendah berbanding baht Thailand kepada 12.1419/1599 daripada 12.1276/1455 sebelumnya. – Bernama
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

