Harga Petrol RON95 Turun 15 Sen, Diesel 30 Sen Seliter – MOF

Kementerian Kewangan (MOF) berkata, harga runcit RON95 turun sebanyak 15 sen seliter iaitu ditawarkan pada kadar RM3.87 seliter berbanding RM4.02 seliter bagi tempoh 14 hingga 20 Mei 2026.
KUALA LUMPUR, 13 Mei – Harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi turun sebanyak 15 sen seliter bagi tempoh 14 hingga 20 Mei 2026 pada kadar RM3.87 seliter berbanding RM4.02.
Kementerian Kewangan berkata, bagi harga RON97 tanpa subsidi pula turun 20 sen iaitu dijual pada kadar RM4.70 seliter bagi tempoh sama berbanding RM4.90 minggu lalu.
Sementara itu, harga diesel tanpa subsidi bagi tempoh sama turut dilaporkan turun 30 sen dengan ditawarkan pada RM4.87 seliter.

“Selaras dengan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), harga runcit diesel di Semenanjung serta harga runcit petrol RON95 tanpa subsidi dan RON97 diturunkan berikutan penurunan harga pasaran antarabangsa.
“Namun begitu, harga bahan api kekal jauh lebih tinggi berbanding paras sebelum konflik di Asia Barat.
“Harga minyak mentah masih mencecah sekitar AS$100 setong, berbanding sekitar AS$60 hingga AS$70 setong sebelum konflik,” kata MOF hari ini.

Kementerian Kewangan berkata, harga runcit bahan api turut dipengaruhi oleh lonjakan kos logistik dan insurans akibat peningkatan risiko di zon konflik.
“Risiko gangguan laluan di Selat Hormuz juga terus memberi tekanan kepada bekalan minyak global, sekali gus mempengaruhi harga pasaran.
“Dalam keadaan pasaran global yang masih tidak menentu, kerajaan menyeru rakyat agar terus mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat bagi membantu memanjangkan bekalan negara,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
