Remaja Maut Terkena Renjatan Elektrik

Pasukan bomba menyerah mayat berkenaan kepada polis untuk tindakan lanjut.
SANDAKAN, 11 Mac – Seorang remaja lelaki maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik dalam kejadian di Kampung Datu Pangeran Batu 7, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa Ridzsfar Jafar, 18, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.06 pagi.
Katanya, sepasukan enam pegawai dan anggota bersama jentera terus digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi.
“Mangsa yang tidak mempunyai dokumen pengenalan diri dipercayai terkena renjatan elektrik dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai polis.

“Pasukan bomba bertindak mengangkat mangsa menggunakan stretcher dan menyerahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Menurutnya, pasukan operasi kemudiannya melakukan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 11.59 pagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
