Rebut Peluang Keemasan Tarik Pelancong China Ke Malaysia!

Pulau-pulau sekitar Semporna pastinya memukau pelancong dari China dan Korea Selatan untuk menikmati keindahan alam dalam keadaan keselamatan sentiasa diutamakan di darat, laut mahupun udara. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

PENDAPAT, 19 Jul – Semua agensi berkaitan termasuk Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mesti melihat kemerosotan jumlah pelancong China ke Thailand sebagai peluang keemasan untuk menarik lebih ramai pelancong ke Malaysia.

Menurut statistik, pada suku pertama 2025, Malaysia menerima kedatangan 1.12 juta pelancong China, meningkat 22 peratus dari tahun ke tahun.

Bagaimanapun dalam tempoh sama, Thailand menerima 1.3 juta pelawat China, tetapi ia menunjukkan penurunan mendadak sebanyak 32.71 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sudah pasti memastikan aspek keselamatan diutamakan kepada pelancong yang melawat mana-mana lokasi pelancongan di seluruh Malaysia. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

Situasi ini wajar dimanfaatkan sepenuhnya dengan strategi promosi yang kreatif dan tersusun agar Malaysia dapat muncul sebagai destinasi pelancongan utama yang selamat, mesra dan menawarkan keunikan tersendiri.

Malaysia sememangnya memiliki pelbagai tarikan yang tidak kalah hebat berbanding destinasi lain di rantau ini. Kepelbagaian budaya, keindahan pulau-pulau, hutan hujan tropika, makanan yang terkenal di peringkat antarabangsa serta rakyat yang ramah mesra adalah aset penting yang boleh diketengahkan.

Pelancong China khususnya mencari destinasi yang menawarkan pengalaman menarik, layanan mesra dan tahap keselamatan yang diyakini – Malaysia memenuhi semua ciri ini sama ada di Pulau Pinang, Langkawi, Sabah atau Sarawak.

Pelbagai produk pelancongan di seluruh negara wajar dipromosikan sambil pasukan keselamatan memastikan keamanan awam terus terpelihara. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail

Sehubungan itu, MOTAC dan semua agensi berkaitan perlu mempergiatkan promosi melalui misi perdagangan, kerjasama dengan agensi pelancongan di bandar-bandar besar di China seperti Shenzen, Hangzhou atau Shanghai serta menggunakan platform digital dan media sosial untuk mendekati golongan muda China yang gemar melancong.

Jangan lupa, aspek penambahbaikan kemudahan seperti penyediaan bahan promosi dalam bahasa Mandarin, pegawai bertugas berbahasa Mandarin di pintu masuk negara dan destinasi tumpuan pelancong serta pakej pelancongan mesra keluarga juga wajar diutamakan.

Langkah ini bukan sahaja dapat menarik pelancong dalam jangka masa terdekat tetapi juga berfungsi sebagai promosi awal menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

Latihan pesat kepada pemandu pelancong serta memahami budaya dan resam pelancong juga antara aspek penting dalam meningkatkan imej negara sebagai ‘duta kecil’ negara bagi mereka untuk terus melawat negara ini pada masa depan.

Usaha bersepadu ini diharap dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan seterusnya meningkatkan pendapatan negara daripada RM30 bilion kepada RM45 bilion dari sektor pelancongan sahaja.

Meninggalkan kenangan manis sudah semestinya momen yang akan menggamit kembali mereka untuk melawat Malaysia dengan pelbagai produk menarik dengan harga berpatutan selaras dengan agenda Malaysia MADANI.

Pemandu pelancong terlatih merupakan aset negara sebagai ‘duta kecil’ memastikan para pelancong selasa dan selamat di mana sahaja di Malaysia. Foto MOTAC Kelantan

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *