Rakyat Sokong Penuh SPRM Terus Siasat Aset Tun M Di UK

Faizul optimis kesungguhan SPRM dalam membuktikan bahawa agensi ini beroperasi tanpa rasa takut atau pilih kasih, menyiasat individu berprofil tinggi tanpa mengira siapa atau jawatan malah berapa besar pengaruh mereka di mana sahaja.

PENDAPAT, 11 Sep – Tindakan berterusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat aset Tun Dr. Mahathir Mohamad, termasuk di United Kingdom (UK) menunjukkan komitmen agensi itu untuk membersihkan nama Malaysia daripada skandal besar seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sebagai contoh.

Tanpa jemu, SPRM difahamkan telah mengadakan perbincangan dengan beberapa agensi anti rasuah di UK antaranya National Crime Agency (NCA) dan Serious Fraud Office (SFO) sejak kes berkenaan dibongkar pada 2022 dengan tumpuan memastikan beberapa aspek teknikal berkaitan pemilikan harta, pemindahan aset serta maklumat berkaitan dapat diselaraskan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki ketika sidang media di ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 9 September 2025. Foto Bernama

“Siasatan terhadap Tun M masih lagi dijalankan dan SRPM sedang mendapatkan maklumat terperinci daripada pihak luar, terutamanya daripada pihak berkuasa UK berhubung aset-aset yang dimilikinya,” kata bos SPRM, Tan Sri Azam Baki kelmarin.

Membuktikan Kredibiliti Dan Ketelusan

Kita amat berbangga dengan kesungguhan SPRM membuktikan bahawa agensi ini beroperasi tanpa rasa takut atau pilih kasih, menyiasat individu berprofil tinggi tanpa mengira siapa atau jawatan malah berapa besar pengaruh mereka di mana sahaja.

Mahathir tiba di pintu apartment Hyde Park pada 22 September 2018 semasa mengadakan lawatan ke United Kingdom. Kini beliau sedang disiasat SPRM dengan kerjasama agensi di negara itu. Foto Arkib

Siasatan telus, terutamanya bekerjasama dengan pihak berkuasa antarabangsa seperti di UK, menunjukkan ketelusan SPRM dalam usaha memulihkan aset yang dipercayai diperoleh secara haram.

Ini adalah langkah amat kritikal bagi memulihkan kepercayaan orang ramai terhadap institusi perundangan dan pentadbiran negara dalam usaha membersihkan unsur rasuah termasuk meningkatkan kedudukan negara menerusi ukuran Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dalam Transparency International Malaysia (TI-M).

Mengatasi Skandal Dan Membina Semula Nama, Imej Negara

Kerugian dianggar RM227 bilion hanya dalam tempoh lima tahun akibat rasuah kini menjadi keutamaan SPRM termasuk siasatan yang kini dijalankan ke atas Tun Mahathir di UK.

Siasatan terhadap aset di luar negara, seperti yang dilakukan dalam kes Tun Mahathir adalah penting untuk menunjukkan kepada dunia bahawa Malaysia tidak akan berkompromi dengan jenayah melibatkan rasuah, serta salah guna kuasa.

Setelah negara terpalit dengan skandal 1MDB yang menyebabkan kerugian besar, tindakan SPRM ini adalah isyarat kuat bahawa Malaysia serius dalam membanteras jenayah kewangan dan pembanterasan pengubahan wang haram (money laundering) di seantero negara.

Bekas pegawai bank Goldman Sachs, Roger Ng disabitkan bersalah oleh mahkamah rasuah New York pada 2013 dan dikatakan dilarang ditemu bual dan memberi keterangan dalam kes 1MDB Najib Razak, menurut peguamnya.

Usaha untuk mendapatkan semula aset yang diselewengkan bukan hanya untuk mengurangkan kerugian, tetapi juga untuk mengembalikan reputasi negara di mata antarabangsa sekali gus meletakkan Malaysia sebagai negara yang memerangi rasuah habis-habisan.

Ismail Sabri Contoh Depan Mata

Persepsi rakyat melihat Ismail Sabri Yaakob yang tidak mencabar langsung pelucutan hak RM169 juta hanya setahun lebih berkuasa, boleh diolah dengan tekanan berterusan ke atas Tun Mahathir yang lebih 22 tahun memerintah sama ada di pelantar media sosial bagi memastikan setiap kesalahan yang dilakukan, dihadapkan ke muka pengadilan.

Ismail Sabri dirawat di hospital dan doktor memberinya sijil sakit sehingga 12 Mac 2025 sebelum SPRM merakam keterangan daripada bekas perdana menteri itu hingga membawa kepada pelucutan hak RM169 juta yang tidak dicabar di mahkamah.

Tekanan itu bukan ditujukan kepada SPRM tetapi lebih kepada bagaimana bekas perdana menteri itu bertindak menjawab setiap dakwaan hasil daripada siasatan yang sedang berjalan sama ada di Malaysia mahupun di UK.

Biarpun ia mungkin memakan masa, namun pendedahan Azam bahawa negara kerugian sebanyak RM227 bilion hanya dalam tempoh lima tahun lalu akibat rasuah, boleh menaikkan semangat rakyat menolak sesiapa sahaja yang terpalit dengan jenayah kewangan tanpa mengira sesiapa sahaja hatta melarikan diri ke negara yang tiada perjanjian ekstradisi dengan Malaysia.

Azam Baki ketika sidang media rampasan kira-kira RM170 juta dipercayai dikaitkan dengan Ismail Sabri pada 3 Mac 2025.

Saya percaya rakyat yang bernaung di bawah satu bendera pasti akan menyokong segala tindakan SPRM memerangi rasuah hingga ke akar umbi.

Alang-alang menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan!

– Faizul Abd Ghani merupakan penganalisis politik dan isu semasa

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *