Kes Menantu Muhyiddin: Imigresen Tunggu Permohonan Batal Pasport

Muhammad Adlan Berhan (kiri) yang juga menantu Muhyiddin dan rakannya Mansoor Saat kini diburu pihak berkuasa termasuk Polis Antarabangsa (INTERPOL) sejak notis merah dikeluarkan pada Oktober 2023.

KUALA LUMPUR, 11 Sep – Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengesahkan sedang menunggu permohonan pembatalan pasport antarabangsa Muhammad Adlan Berhan, menantu kepada bekas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban, berkata pihaknya hingga kini tidak menerima permohonan rasmi berhubung perkara itu.

“Setakat ini saya belum terima sebarang permohonan,” katanya ringkas ketika dihubungi, semalam.

SPRM memohon pasport Muhammad Adlan Berhan dibatalkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi membolehkan menantu Muhyiddin tersebut menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Menjawab lanjut, Zakaria menjelaskan sebarang permohonan untuk membatalkan pasport individu perlu dikemukakan terus kepada Imigresen dan bukan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, memaklumkan pihaknya sudah memohon pembatalan pasport Muhammad Adlan selepas usaha mengesannya terus dijalankan.

“Kita sudah membuat tindakan semalam (kelmarin) dan berharap Kementerian Dalam Negeri (KDN) setuju dengan permohonan agar pasport beliau dibatalkan.

Menantu Muhyiddin, Adlan Berhan masih tidak menyerah diri kepada pihak berkuasa walaupun Interpol telah mengeluarkan notis merah. Foto SPRM

“Beliau didakwa berada di negara yang mana kita tidak mempunyai perjanjian ekstradisi, tapi kita cuba berunding dengan negara berkenaan bagaimana untuk membawa beliau pulang ke negara ini,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya, hari ini.

Ditanya mengenai keberadaan Muhammad Adlan, Azam berkata, menantu bekas Perdana Menteri itu dipercayai berada di Asia Barat, namun enggan mendedahkan nama negara berkenaan.

Pada 7 Ogos 2023, SPRM dilapor mengesan Muhammad Adlan dan seorang peguam, Mansoor Saat, 70, bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing sebuah kementerian.

Kedua-duanya dikenal pasti meninggalkan Malaysia masing-masing pada 17 Mei dan 21 Mei 2023.

Pada Oktober 2023, Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Razarudin Husain, mengesahkan permohonan notis merah ke atas Muhammad Adlan dan Mansoor sudah diserahkan kepada Polis Antarabangsa (INTERPOL).

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *