PM Anwar Terima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025 daripada Humayon dalam satu majlis di Kuala Lumpur pada 11 September 2025. Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 11 Sep – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinobatkan sebagai penerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025.

Anugerah berprestij itu disampaikan oleh Pengerusi Global Islamic Finance Awards (GIFA) 2025, Prof Humayon Dar dalam satu majlis berprestij di sini, hari ini.

Anwar menyifatkan penghargaan yang diberikan itu bukan hanya untuknya semata-mata, tetapi untuk seluruh barisan wira di sebalik tabir, yang bekerja keras, berkorban masa dan tenaga demi memastikan sistem kewangan Islam berkembang.

Justeru, beliau melahirkan kesyukuran dapat bersama-sama untuk meraikan penggerak, pengasas dan rakan-rakan yang menjayakan institusi kewangan negara dan melakar satu kerangka perbankan dan kewangan Islam yang bertapak segar.

“Saya percaya penghargaan ini kepada mereka semua dan saya hanya satu wakil kecil menerima kepada semua penggerak yang berjasa berkhidmat jauh lebih handal dan bermakna daripada apa yang saya lakukan,” katanya selepas menerima anugerah berprestij itu.

Hadir sama, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

Di sebalik penghormatan ini, Perdana Menteri mengingatkan hadir juga satu cabaran yang besar untuk terus mengangkat keupayaan kewangan Islam agar benar-benar menepati kerangka Maqasid Shariah yang membawa keadilan, keseimbangan dan pemerataan peluang.

Beliau berkata, kewangan Islam tidak sepatutnya dilihat hanya sebagai pilihan sampingan, tetapi sebagai satu sistem penuh harapan dengan instrumen yang lebih lengkap, menyeluruh dan mampan.

Justeru, inilah masa untuk membuktikan bahawa kewangan Islam bukan sekadar alternatif, tetapi masa depan yang lebih adil dan terangkum untuk semua, katanya.

– Oleh Mahanum Abdul Aziz

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *