Rafizi Ketuai Lebih 150 Cabang KEADILAN Buat Laporan Polis Ke Atas Najib

KUALA LUMPUR, 19 Jul – Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli mengetuai lebih 150 cabang di seluruh negara hari ini tampil membuat laporan polis terhadap bekas perdana menteri Najib Razak.
Tindakan itu bagi menggesa pihak berkuasa menyiasat berhubung dakwaan kecuaian Najib semasa menghentikan pembayaran tahunan RM5,300 kepada waris Kesultanan Sulu.
Difahamkan cabang-cabang yang belum mmebuat laporan polis akan berbuat demikian selewat-lewatnya esok dan lusa.
Antara cabang-cabang yang telah membuat laporan polis ialah Johor Bahru, Pasir Gudang, Kota Bharu, Alor Setar, Ipoh Barat, Kampar, Bayan Baru, Lahad Datu dan Miri.

Rafizi ketika ditemui di luar Balai Polis Setiawangsa berkata, laporan polis itu merupakan satu permulaan terbaik bagi mencabar naratif yang dicipta Najib untuk membohongi rakyat berhubung isu itu.
“Kami menyeru semua ahli dan pemimpin KEADILAN di negara ini untuk membuat laporan esok di balai polis berhampiran,” kata Rafizi dalam catatan Facebook rasmi beliau.
Beliau turut memanjangkan jemputan tersebut kepada aktivis akar umbi daripada parti Amanah dan DAP.
“Hari Selasa hari yang dipilih untuk mengingatkan Najib tentang janjinya untuk menyaman Wall Street Journal berhubung skandal 1MDB yang tidak pernah berlaku,” katanya sambil menyediakan draf laporan polis di laman Facebook rasmi beliau untuk diisi.
Ketika berucap di Kongres Nasional KEADILAN di Shah Alam baru-baru, Rafizi membuat gesaan supaya laporan terhadap Najib berhubung tuntutan pewaris Kesultanan Sulu pampasan berbilion-bilion kerana menyerahkan kedaulatan ke atas Sabah.
Sebagai tindak balas, Najib telah mencabar ahli KEADILAN membuat laporan polis terhadapnya jika benar beliau menyiarkan pembohongan di media sosial dan juga mengatakan beliau tidak takut dengan ugutan mereka.
Waris Sulu memperoleh perintah rampasan terhadap dua anak syarikat Petronas yang didaftarkan di Luxembourg minggu lepas. Bagaimanapun, Kerajaan Persekutuan berkata perintah itu tidak sah.
Petronas berkata tindakan itu tidak berasas.
