Kesemua 24 Cabang KEADILAN Di Perak Buat Laporan Polis Ke Atas Najib

Ketua Cabang KEADILAN Pasir Salak, Mohamad Maharani Md Tasi bersama rakan-rakan dari AMANAH Kawasan Pasir Salak membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Gajah hari ini.

IPOH, 19 Jul – Sebanyak 24 cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Perak mencatat sejarah tersendiri apabila kesemuanya membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak berhubung dakwaan kecuaiannya sehingga menyebabkan Malaysia berdepan tuntutan RM67.5 bilion daripada waris kesultanan Sulu.

Menurut laporan daripada wakil-wakil cabang, laporan berkenaan dibuat pada Selasa di beberapa Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan balai polis seluruh negeri bermula jam 9 pagi tadi.

Menurut wakil KEADILAN negeri, Mohamad Maharani Md Tasi berkata, antara cabang yang telah membuat laporan polis adalah Gerik, Lenggong, Parit Buntar, Kuala Kangsar, Padang Rengas, Parit, Lumut, Gopeng, Batu Gajah, Kampar, Tapah Pasir Salak, Teluk Intan, Bagan Datuk dan Tanjong Malim.

Anggota KEADILAN Cabang Tambun membuat laporan polis ke atas Najib Razak di Balai Polis Tambun pagi tadi.

Menurutnya, semua laporan dibuat serentak hari ini sebagai tanda mengecam sekeras-kerasnya sikap Najib yang mengelirukan rakyat dan menyalahkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) atas tuntutan tersebut.

“Saya harap laporan dibuat ini membolehkan kertas siasatan dibuka untuk memastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Gajah bersama-sama Amanah Kawasan Pasir Salak di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Ketua KEADILAN Cabang Pasir Salak berkata, pimpinan negeri turut mendesak tindakan supaya pihak berkuasa menyiasat Najib di bawah peruntukan kanun jenayah sedia ada.

KEADILAN Cabang Parit membuat laporan polis diketuai Ketua Cabang, Usaili Alias di IPD Seri Iskandar, pagi tadi.

Katanya, Akta 574 dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam perkhidmatan seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah Perlembagaan Persekutuan (P.U.A 395) boleh diguna pakai dalam menentukan unsur-unsur kecuaian yang dilakukan Ahli Parlimen Pekan itu dalam menangani isu berkenaan.

Ketua Cabang KEADILAN Pasir Salak, Mohamad Maharani Md Tasi bersama AMANAH Kawasan Pasir Salak membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Gajah.

“Keputusan menghentikan bayaran pampasan dibuat oleh pentadbiran Najib pada 2013 semasa beliau masih memegang jawatan perdana menteri dan tindakan undang-undang telah dikemukakan pada 2017 oleh waris Sultan Sulu sebelum PH mengambil alih kerajaan lagi,” katanya.

KEADILAN Cabang Gerik membuat laporan polis di IPD Gerik sebentar tadi sebagai menyahut seruan Timbalan Presiden, Rafizi Ramli.

Sementara itu di Cabang Tanjong Malim, Ketua Cabangnya yang juga Naib Presiden KEADILAN, Chang Lih Kang turut membuat laporan polis di IPD Muallim sambil menggesa pihak berkuasa menyiasat secara telus dan adil.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Tanjong Malim berpuas hati dengan prestasi cabang-cabang di negeri ini yang menyahut seruan Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *