KEADILAN Cabang Jempol Gesa Najib Disiasat Segera

JEMPOL, 19 Jul – Seperti mana cabang lain di seluruh negara, Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) Cabang Jempol tidak ketinggalan membuat laporan polis terhadap bekas Perdana Menteri, Najib Razak pada Selasa.

Menurut Ketua Cabang KEADILAN Jempol, Rebin Birham berkata, laporan polis dibuat selepas Najib didakwa melakukan kecuaian sehingga menyebabkan negara berdepan tuntutan kira-kira RM67.5 bilion daripada waris keturunan Sulu di Filipina.


“Laporan polis ini berkait satu dakwaan kecuaian Najib dalam isu penyelesaian tuntutan waris Sultan Sulu yang dilihat sudah menampakkan kesan selepas dua aset Petronas di Azerbaijan disita dan diambil alih.

“Kita memohon pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memulakan siasatan segera kerana kita lihat tindakan pengambilalihan aset-aset negara yang berlaku sekarang, kita tidak mahu lebih banyak aset negara diambil sedemikian rupa,” ujarnya dalam satu sidang media ringkas selepas tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol di sini pada Selasa.


Turut hadir, wakil dari Parti Amanah Negara (AMANAH) kawasan Jempol, Abdul Rahman Ramli; Timbalan Ketua Cabang, Azmi Mohd Darus dan Ketua Wanita Cabang Jempol, Nor Shahida Ayob.

Pada Isnin, Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli meminta semua pimpinan dan cabang parti di seluruh negara membuat laporan polis terhadap Najib berhubung kecuaian bekas Perdana Menteri itu sehingga membawa tuntutan waris kesultanan Sulu baru-baru ini.


Menurut beliau, undang-undang negara memperuntukkan bahawa rakyat boleh mengambil tindakan sama ada di bawah Kanun Jenayah atau tindakan saman sivil terhadap mana-mana penjawat awam yang cuai dalam menjalankan tugas awam.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *