PRU Sabah: PH Mesti Waspada Dalam Tempoh 24 Jam Terakhir

Ramanan turun padang bersama calon Pakatan Harapan (PH) DUN Moyog, Remysta Jimmy Taylor menyantuni para penjaja dan peniaga kecil di Projek Tamu Kampung Babagon, Moyog pada 21 November 2025. Foto Remysta Taylor
PENAMPANG, 21 Nov – Pakatan Harapan (PH) tidak boleh mengambil sikap mudah terlalu yakin dengan potensi calonnya di sesetengah kawasan pilihan raya yang dianggap cukup dikenali dan berpeluang menang kerana apa saja boleh berubah dalam tempoh 24 jam terakhir.
Menyifatkan inilah realiti politik di Sabah, Naib Presiden KEADILAN, Datuk Seri R Ramanan berkata, dalam situasi sebegini, keutuhan jentera parti amat penting dalam mengelak peralihan undi kepada calon lawan.

Situasi selesa wajar dielakkan jika mahu momentum sokongan sekarang mahu dikekalkan terutamanya di kalangan anak muda yang terpengaruh dengan sentimen pembangkang.
“Kita kena bekerja keras. Kita tak boleh terlalu yakin. Kalau tanya mana-mana parti pun, (dengan siapa) mereka bekerjasama, tiada siapa akan kata saya akan kalah, semua akan kata saya boleh menang.
“Tetapi di sini, kita kena kerja keras. Laman politik terkini (di Sabah), dalam tempoh 24 jam itu, arus boleh tiba-tiba tukar, jadi buat masa ini, kita ada di sini, jentera kita sedang pantau, sedang bergerak,” katanya ditemui media selepas mengiringi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Moyog, Remysta Jimmy Taylor berkempen di Tamu Desa Babagon di sini hari ini.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi optimis, kemampuan calon PH yang juga anak tempatan dan cukup dikenali di kawasannya, memudahkan beliau meraih sokongan pengundi di sini.
“Selalunya di Sabah, mereka meminta anak Sabahan, kadang-kadang mereka minta anak tempatan, tapi yang calon saya berkempen ini, dia istimewa.

“Kita sangat bertuah sebab calon ini dikenali. Dia tidak dikenali sebagai ahli politik, tapi sebagai Remysta sebab dia membesar di sini, dia lahir di sini,” katanya.
DUN Moyog kali ini menyaksikan pertembungan 12 penjuru, termasuk antara parti sekutu, yang membabitkan Remysta dari PH dan wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Joeynodd Aiko Ronald C Bansin.

Turut bertanding di DUN berkenaan adalah Naib Presiden Warisan, Terence Siambun; Timbalan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Donald Peter Mojuntin; Joseph Suleiman (Parti Solidariti Tanah Airku); Francis Mojikon (Perikatan Nasional), Richard Ronald Dompok (Parti Kebangsaan Sabah) dan Walter Norbert Johnny (Parti Bumi Kenyalang).
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
