Tiga Tahun Pasca-PRU15: Naratif Kestabilan Yang Mengembalikan Maruah Malaysia

Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada awalnya disindir macam-macam dan diramal tumbang dalam masa tiga bulan—bukan sahaja berjaya bertahan, malah telah meletakkan asas kukuh untuk sebuah kestabilan yang didambakan oleh rakyat dan pelabur. Foto Lai

PENDAPAT, 20 Nov – Siapa boleh lupa tarikh 20 November 2022? Hari-hari selepas itu sangat memenatkan—seluruh negara terasa ibarat sebuah kereta yang tersangkut di lumpur. Parlimen tergantung, dan rakyat serabut dengan ketidakpastian politik. Kita saksikan pergelutan kuasa, tawar-menawar yang berlarutan, dan di sebalik itu, wujudnya rasa putus asa.

Namun, tiga tahun telah berlalu. Hari ini, jika kita melihat semula perjalanan ini, kita akan dapati landskap politik dan ekonomi Malaysia telah berubah sepenuhnya.

Kerajaan Perpaduan diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada awalnya disindir macam-macam dan diramal tumbang dalam masa tiga bulan—bukan sahaja berjaya bertahan, malah telah meletakkan asas kukuh untuk sebuah kestabilan yang didambakan oleh rakyat dan pelabur.

Ini adalah pencapaian terbesar dalam tempoh lebih 20 tahun kebelakangan ini. Cuba kita lihat data tiga tahun ini; ia bercakap sendiri. Kestabilan politik yang dikemudi secara utuh di bawah kepimpinan Anwar telah mengembalikan sepenuhnya keyakinan pelabur.

Ledakan pelaburan asing daripada gergasi teknologi seperti Google, Microsoft, Amazon Web Services dan Nvidia bukan berlaku secara kebetulan. Ini adalah hasil daripada dasar-dasar yang ada hala tuju jelas, di samping persekitaran perniagaan yang menjamin kelangsungan pelaburan mereka.

Seiring dengan kemasukan FDI yang tinggi ini, nilai ringgit kita juga nampak makin baik berbanding paras terendah yang dicapai dahulu, petanda fundamental ekonomi yang sihat. Ini adalah bukti Malaysia sudah kembali di peta persaingan global.

Paling penting, keberanian kerajaan membuat keputusan yang tidak popular demi kepentingan jangka panjang ekonomi negara dan kemampanan fiskal serta cabaran geopolitik global.

Penyasaran subsidi diesel dan elektrik, misalnya, adalah langkah fiskal yang sukar dan memerlukan keberanian politik yang tinggi, tetapi ia sangat perlu untuk mengurangkan ketirisan yang menelan berbilion ringgit setiap tahun.

Langkah ini menunjukkan bahawa kerajaan sanggup menanggung risiko demi menyelamatkan kewangan negara daripada masalah struktur.

Reformasi yang hanya fokus pada angka tidak akan memanfaatkan semua lapisan masyarakat jika kebajikan sebenar anak muda diabaikan – Lai.

Dalam masa sama, nasib rakyat tidak pernah diabaikan. Kita saksikan pengumuman kenaikan gaji penjawat awam (SSPA) yang lama tertangguh dan inisiatif Dasar Gaji Progresif. Ini adalah komitmen kerajaan untuk mengangkat pendapatan rakyat dan membina kelas menengah yang mampan

Bukan itu sahaja. Terdapat fokus kepada pembaikan infrastruktur asas seperti sekolah daif dan klinik desa. Inisiatif-inisiatif ini menyentuh terus kualiti hidup rakyat marhaen, membuktikan pembangunan yang dilakukan adalah berteraskan nilai dan ihsan.

Tiga tahun telah berlalu, dan kapal negara ini kini sudah kembali berlayar dengan kompas yang jelas. Kita sudah berjaya melepasi fasa huru-hara politik dan kini semua pihak fokus membina.

Walaupun kita tidak boleh nafikan cabaran kos sara hidup global masih wujud, kita boleh menarik nafas lega kerana asas kestabilan dan hala tuju reformasi negara kita sudah betul dan kukuh. Naratif baharu ini, yang dibina atas perpaduan dan tekad politik, harus diraikan.

– Oleh Lai Chen Heng

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *