PRU Sabah: Bersatu Jadi ‘Lebai Malang’

Kekalahan teruk ini juga memberi ‘peluang’ kepada Pas untuk mendominasi PN biarpun cuma menang atas faktor calon berbanding jenama PN sendiri.
PENDAPAT, 1 Dis – Nasib Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) di Sabah bertambah buruk umpama dilanda ‘tsunami’ setelah kesemua 33 calonnya tewas dalam Pilihan Raya Umum (PRU) Sabah ke-17 Sabtu lalu.
Merudumnnya prestasi parti Muhyiddin Yassin amat berbeza berbanding 11 kerusi yang dimenanginya pada PRU Sabah pada 2020, dan ‘kejayaan’ bersejarah Pas merampas kerusi Karambunai langsung tidak ‘meraikan’ logo Perikatan Nasional (PN) yang digunakan, padahal kemenangan tersebut berpunca daripada calon dan bukannya parti.
Lebih teruk, 36 daripada 42 calon PN hilang wang pertaruhan (deposit) berbanding parti lain dan antara parti ‘besar’ yang mengalami kemerosotan paling signifikan sejak 2020.

Sudah tentu kekalahan besar ini bukan sekadar berpunca daripada penolakan besar-besaran terhadap ‘parti dari Semenanjung’ tetapi difahamkan ia lebih kepada penampilan calon ‘tangkap muat’ yang tidak diberi peluang ‘bekerja’ di kawasan masing-masing dalam tempoh yang lebih lama.
Lebih malang, Pengerusi PN Sabah Ronald Kiandee merupakan antara nama besar Bersatu yang tewas kepada calon Gabungan Rakyat Sabah (GRS) James Ratib, yang dipilih untuk penggal keempat sebagai Adun Sugut, walaupun Ronald merupakan ahli parlimen Beluran.

Ini bukanlah keputusan yang terlalu mengejutkan memandangkan tempoh singkat yang dimiliki Bersatu untuk menggerakkan jentera dan sokongan diperlukan bagi menghadapi pilihan raya sejak pembubaran dewan undangan pada 6 Oktober lalu.
Pengerusi GRS Hajiji Noor mengetuai pemimpin Bersatu Sabah yang keluar beramai-ramai pada Disember 2022, selepas PRU15, apabila mereka menyokong Kerajaan Perpaduan, menyebabkan parti itu tidak mempunyai sebarang wakil dalam DUN ketika itu.
Prestasi buruk Bersatu secara tidak langsung menambah kebimbangan Presiden, Muhyiddin Yassin, dengan bekas perdana menteri itu berdepan rasa tidak puas hati dalam parti serta desakan agar beliau berundur menjelang PRU16.
Desakan supaya beliau melepaskan jawatan presiden Bersatu kepada timbalannya yang juga Ketua Pembangkang Hamzah Zainudin, dijangka meningkat selepas keputusan pilihan raya Sabah.
Komponen PN, Gerakan, turut menyaksikan tiga calonnya tewas teruk kepada Warisan di Luyang, Elopura dan Tanjong Papat, meneruskan rekod buruk dalam pilihan raya di bawah gabungan itu.
Umpama ‘lebai malang’ keputusan buruk ini dijangka terus memberi tekanan kepada Muhyiddin yang masih gagal ‘memujuk’ menantunya yang dalam pelarian di rantau Asia Barat untuk berdepan pertuduhan SPRM.

Malah, kekalahan teruk ini juga memberi ‘peluang’ kepada Pas untuk mendominasi PN biarpun cuma menang atas faktor calon berbanding jenama PN sendiri.
Adalah dijangkakan, pertelagahan antara Pas dan Bersatu akan lebih buruk menjelang PRU16 kurang dua tahun dari sekarang.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

