PRN Sabah: BN Dedah Punca Tolak Kerjasama Dengan GRS

Penolong Ketua Penerangan Umno Sabah merangkap Ketua Umno Kalabakan Samasuddin Yusop. Foto Facebook Samasuddin Yusop
KOTA KINABALU, 5 Sep – Barisan Nasional (BN) mendedahkan rundingannya dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) disifatkan pincang, berbanding dengan Pakatan Harapan (PH) yang berjalan lancar dan adil, menjadi punca mengapa mereka memutuskan untuk tidak bekerjasama pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Penolong Ketua Penerangan UMNO Sabah, Samasuddin Yusop, berkata kepincangan berlaku apabila prinsip agihan kerusi tidak dipatuhi sedangkan pendirian BN jelas tidak akan tunduk terhadap rundingan yang tidak adil.
Berikutan itu, katanya langkah BN dan UMNO Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) adalah wajar.

“Kegagalan rundingan BN-GRS selepas BN hanya ditawarkan lapan kerusi, berbanding 14 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu, jelas membuktikan keangkuhan GRS serta sikap tidak menghormati asas rundingan.
“BN berpegang teguh kepada prinsip ‘incumbency rule’, kerusi yang dimenangi pada PRN lalu mesti dikekalkan kepada parti asal. Jika wujud pertindihan, ia boleh diselesaikan melalui prinsip pertukaran yang adil,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Semalam Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan keputusan muktamad parti itu di Sabah tidak akan bekerjasama dengan GRS menghadapi PRN17.
Samasuddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Kalabakan, berkata BN berasa terhina apabila ada pemimpin utama GRS menyatakan bahawa lapan kerusi sudah terlalu banyak untuk BN.
Katanya, kenyataan pemimpin terbabit seolah-olah menafikan jasa, kekuatan dan peranan besar BN dalam politik Sabah, sekali gus menyinggung hati ahli dan penyokong BN di seluruh negeri.
Beliau turut menyatakan sokongan UMNO Sabah terhadap Ahmad Zahid yang menegaskan BN tidak akan berkompromi jika asas rundingan tidak dihormati.
Sebaliknya, beliau berkata rundingan BN bersama PH berjalan dengan lancar dan baik kerana kedua-dua pihak menghormati asas rundingan.
Katanya, pertindihan kerusi dengan PH juga dapat diselesaikan melalui prinsip ‘swap‘ (pertukaran) dalam semangat Kerajaan Perpaduan.
“Oleh itu, saya menyeru seluruh ahli UMNO dan BN Sabah agar terus berdiri teguh di belakang kepemimpinan Presiden dan Pengerusi BN.
“Inilah saatnya untuk kita membuktikan kesetiaan dan kekuatan kita, bukan saja demi kemenangan BN pada PRN Sabah tetapi juga demi memastikan Sabah terus stabil, makmur dan dihormati.
“BN Sabah tidak akan tunduk kepada rundingan yang pincang. BN Sabah akan terus berjuang dengan penuh maruah dan keyakinan untuk rakyat,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


