PRN: Perikatan Nasional Kini Ibarat ‘Kereta Yang Kehabisan Minyak’

Perikatan Nasional (PN) kini layak dinamakan semula menjadi Penipu Nasional (PN) ekoran kegagalan 17 bulan mentadbir negara hingga Muhyiddin meletak jawatan dan digantikan oleh Ismail Sabri. Foto Arkib

PENDAPAT, 11 Jul – Reputasi Perikatan Nasional (PN) yang didominasi oleh PAS kononnya PNBERSIH dan PRIHATIN kini ibarat sudah jatuh ke dalam tangki kumbahan. Bak kata Shanon Ahmad dalam novelnya berjudul” Shit” yang menunjukkan apa yang dilakukan oleh Perikatan Nasional adalah ‘busuk dan membusuk’.

Penyokong mereka menyangka gabungan yang bakal membentuk kerajaan selepas keputusan PRU ke-15 lalu adalah Perikatan Nasional kerana semasa berlakunya langkah Shareton bermula tahun 2020, Pakatan Harapan dilihat berada pada posisi yang sangat lemah dan sukar untuk bangkit yang akhirnya telah menatijahkan berlakunya pertukaran tiga orang perdana menteri dalam masa tidak sampai sepenggal pun parlimen berjalan.

Kini faktor tersebut sudah tiada lagi sejak Pakatan Harapan bersama-sama di dalam Kerajaan Perpaduan yang adanya gabungan UMNO-BN dan Parti Borneo (GPS/GRS). Malah kepimpinan YAB Perdana Menteri telah mempunyai sokongan yang kukuh melebihi daripada dua pertiga di Dewan Rakyat.

Perikatan Nasional (PN) kini layak dinamakan semula menjadi Penipu Nasional (PN) ekoran kegagalan 17 bulan mentadbir negara hingga Muhyiddin meletak jawatan dan digantikan oleh Ismail Sabri. Foto Arkib

Makanya sampai ke saat ini pemimpin mereka iaitu Perikatan Nasional tidak berhenti-henti meniupkan persepsi malah cuba untuk melaga-lagakan pemimpin UMNO-BN dan Pakatan Harapan supaya dilihat Kerajaan Perpaduan ini berada dalam keadaan yang sangat rapuh dan menunggu masa untuk ditumbangkan.

Namun diyakini setelah Akta Anti Lompat Parti dikuatkuasakan secara taktikalnya telah menyekat sebarang usaha atau rancangan parti pimpinan politik untuk menukar kerajaan malah terbukti berkesan menumpulkan taji Tun M sendiri yang cuba untuk menggugat kestabilan politik negara sekali lagi dan gagal untuk mengulangi kejayaan Shareton move kedua yang direncanakan sebelum ini serta difahamkan katanya ada lagi rancangan menjelang Ogos depan.

Gelombang Perikatan Nasional pada PRU15 lalu bukan lahir daripada kefahaman dan kesedaran politik yang kukuh, tetapi lebih kepada permainan sentimen perkauman dan ektremis agama. Gelombang seperti ini diyakini sukar dapat bertahan lama.

Para pemimpin Perikatan Nasional pun sedar hakikat ini. Sekiranya Kerajaan Perpaduan ini dapat terus bertahan hingga ke akhir penggal, peluang parti Perikatan Nasional dalam PRU ke-16 sangat sukar sebab itu mereka berhempas pulas mencari lubang bocor sebagai jalan hendak menebuk atap sekali lagi.

Perikatan Nasional menang banyak kerusi semasa PRU ke-15 lalu dikira bernasib baik kerana berjaya membawakan naratif 3R yang mempengaruhi sentimen orang Melayu dan membina persepsi yang berpihak kepada mereka.

Dulu Perikatan Nasional dalam kempennya membawa imej Muhyiddin berwatak warak berdasarkan salasilah bapanya yang bergelar tuan guru tetapi hari ini imej tersebut ternyata palsu belaka bahkan Muhyiddin juga dikaitkan dengan skandal suapan beratus juta ringgit.

Mengingatkan akan seni kata lagu nasyid kumpulan paling popular pada masa lalu iaitu kumpulan ” Raihan” benarlah yang keimanan itu bukannya boleh diwarisi daripada sesiapapun melainkan diri sendiri bahkan beban dosa itu juga tidak boleh dipikul oleh orang lain.

Jadi imej Muhyiddin Yasin yang sebelumnya digambarkan berwatak warak dan prihatin kini telah bertukar wajah menjadi seorang kluster mahkamah yang mengambil kesempatan daripada penderitaan rakyat ketika PKP malah beliau orang yang bertanggungjawab menggantung parlimen daripada diadakan bersidang.

Slogan PNBESTdan PRIHATIN kini hanya tinggal slogan semata-mata. Realitinya pemimpin mereka telah didakwa atas beberapa tuduhan seperti melakukan pecah amanah dan melakukan rasuah malah terbukti sepanjang melakukan kempen pilihan raya umum tempoh hari pihaknya cuba menyogok pengundi-pengundi dengan rasuah politik.

Mujur parlimen Marang terselamat itupun dikira bernasib baik. Jikalau tidak parti PAS bakal pupus dan ditinggalkan para penyokongnya.

Menjelang pilihan raya negeri yang tidak berapa lama lagi sebenarnya lebih tertumpu dengan isu-isu negeri. Faktanya negeri-negeri yang ditadbir oleh Pakatan Harapan jauh lebih baik daripada sudut ekonomi, tata kelola pengurusan berbanding tiga negeri yang diperintah parti pembangkang.

Jadi agak pelik di manakah kemunasabahannya seperti apa yang dilaporkan oleh seorang penganalisis dari Singapura kononnya Selangor dan Negeri Sembilan bakal jatuh ke pihak pembangkang. Lebih melucukan lagi orang yang menyampaikan laporan tersebut adalah datang daripada mulut pemimpin pembangkang. Jadi gayanya macam angkat bakul sendirilah.

Melihat kepada respons dan sambutan yang luar biasa bahkan amat memberangsangkan sekali apa yang ditunjukkan oleh anak-anak muda, belia remaja di mana-mana program yang melibatkan program talk show atau temu bual bersama PMX dan terbaharu di UUM Sintok ternyata ini yang membuatkan para pemimpin Perikatan Nasional tidak sedap duduk dan berasa panas punggung.

Menjengah isu terkait Felda, bukan main riuh pihak pembangkang memputar belitkan fakta sebenar malah terjerit-jerit melaungkan “Melayu, Melayu Islam” tetapi sedihnya bilamana YAB PMX bertindak menyelamatkan Felda, cuba hendak dipertikaikan pula malah Dato’ Seri Anwar ditomah kononnya PMX telah berbohong dalam isu pelupusan hutang Felda.

Sekonyong-konyong penyokong walaun tegar menyamar sebagai anak peneroka Felda menurunkan komen di sosial media. Jadi takkanlah Ketua Peneroka Felda Kebangsaan Dato Sulong Jamil tidak bercakap benar?

Pun begitu nada serupa diucapkan oleh Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek selaku Pengerusi Felda yang baharu telah mengesahkan bahawa tiada dokumen atau hitam putih menunjukkan Tan Sri Muhyiddin Yasin telah melupuskan hutang Felda sebaliknya hanya janji mulut yang Muhyiddin umum tetapi tidak menepati janji malah Muhyiddin Yasin juga terpalit skandal penyelewengan kerana menggelapkan wang Felda sebanyak RM8.3 bilion ringgit.

Jadi siapakah yang berbohong Muhyiddin atau PMX? Penulis juga turut mempersoalkan mengapakah Perikatan Nasional tidak menghayati titah YDPA bahawa yang kalah itu tidak kalah semua dan yang menang itu tidak menang semua.

Penulis ingin bertanya apa masalahnya sehingga kerajaan pusat hendak dijatuhkan? Adakah negara ini benar-benar telah terancam. Jika ia ancaman kepada siapa, agama atau bangsa? Jikalau ada mana buktinya, jangan asyik main sedap mulut cakap sahaja bila ditanya mana bukti tidak boleh dijawab.

Jadi jika sekiranya pihak pembangkang sudah kekeringan idea atau modal politik usah lagi kemaruk sangat hendak menjatuhkan Kerajaan Perpaduan? Apa salahnya tunggu sahajalah musim PRU ke-16.

Pembangkang seharusnya mengambil sikap bertanggung jawab dan memainkan peranan bersama memelihara imej sebagai anak watan bagi memastikan kedudukan geopolitik dan negara kita ini kembali stabil dan kukuh bukannya mencari jalan menggugat kerajaan perpaduan atau mencetuskan kacau bilau yang boleh menakutkan pelabur asing datang ke Malaysia.

Sememangnya menjadi harapan buat kita rakyat negara ini mahukan perubahan besar dapat dilakukan bagi meningkatkan pertumbuhan ekonomi negara dan sekali gus meyakinkan para pelabur asing untuk terus melabur di negara Malaysia.

Justeru, kepada pihak-pihak berkepentingan serta penyokong parti Perikatan Nasional (pembangkang) hendaklah menerima hakikat bahawa mandat rakyat adalah menjadi hak milik Kerajaan Perpaduan pada hari ini.

– Cucu Tok Janggut

Sekian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *