PRN 2023: Umno Kemuka Rayuan Segera Penolakan Petisyen Marang

Umno Terengganu telah diarahkan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tanpa perlu menunggu tempoh 14 hari. Foto Arkib.

KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Badan Perhubungan UMNO Terengganu akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang menolak petisyen pilihan raya Barisan Nasional (BN) negeri itu bagi kawasan Parlimen Marang.

BN Terengganu sebelum ini mengemukakan petisyen bagi membatalkan kemenangan Presiden Pas, Abdul Hadi Awang, pada PRU15 di kawasan Parlimen itu.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Hassan Abdul Ghani, yang bertindak sebagai Hakim Pilihan Raya, menolak petisyen berkenaan selepas mendapati pihak pempetisyen, Jasmira Othman, gagal menimbulkan sebarang keraguan munasabah.

Pengerusi UMNO negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Said, hari ini mengarahkan rayuan itu segera difailkan ke Mahkamah Persekutuan.

Katanya, walaupun puas hati dengan keputusan penolakan petisyen itu, terdapat beberapa hujah dikemukakan peguam BN, Datuk Mohd Hafarizam Harun yang ditolak.

Umno Terengganu telah diarahkan memfailkan rayuan ke Mahkamah Persekutuan tanpa perlu menunggu tempoh 14 hari. Foto Arkib.

“Saya berpendapat, semua hujah pasukan peguam kami bagi kes Parlimen Marang ditolak sedangkan kita berpendapat kes atau bukti bagi kerusi itu lebih kukuh berbanding Parlimen Kuala Terengganu,” katanya ketika dihubungi.

Pada PRU15, Abdul Hadi mempertahankan kerusi Parlimen Marang selepas menewaskan tiga calon lain, termasuk Jasmira dengan majoriti 41,729 undi.

Abdul Hadi memperolehi 73,115 undi, Jasmira (31,386 undi), Azhar Ab Shukur daripada Pakatan Harapan (PH) memperolehi undi sebanyak 4,410 manakala Zarawi Sulong daripada parti Gerakan Tanah Air (GTA) sebanyak 427 undi.

Semalam juga, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan calon Pas, Ahmad Amzad Hashim bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu pada PRU15 selepas pihak pempestiyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *