PRN 2023: Terbubar DUN NS Namun Rekod Cemerlang MB Mampu Kekalkan Kerajaan Perpaduan

PENDAPAT, 1 Jul – Tanggal 1 Julai hari ini, secara rasminya Kerajaan Negeri Sembilan dibubarkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-15 sekitar Ogos nanti.
Namun bila mengimbas kembali lima tahun pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebenarnya telah memberi banyak perubahan kepada rakyat, semenjak pucuk pimpinan bertukar tangan buat kali pertama pada 9 Mei 2018.
Banyak kejayaan berjaya dilaksanakan oleh kerajaan negeri di bawah pentadbiran HARAPAN. Salah satu komponen penting kejayaan pentadbiran kerajaan negeri datang dari DUN Sikamat yang merupakan kubu kuat Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun yang mempertahankan kerusi DUN itu tiga penggal berturut-turut.

Dalam sidang media beberapa hari lalu, beliau mengumumkan kerajaan Pakatan Harapan telah berjaya melaksanakan 95 peratus daripada manifesto yang ditawar semasa PRU-14 lalu.
Agenda rakyat terus diberi keutamaan dalam pentadbiran di negeri ini malah melalui pembentangan belanjawan Negeri Sembilan setiap tahun menyaksikan pelbagai inisiatif telah diperkenalkan.
Kejayaan pentadbiran kerajaan negeri boleh dinilai melalui perspektif sosio-ekonomi, bermula dengan pelaburan asing langsung (FDI) yang meningkat kepada RM23.51 bilion dan mewujudkan lebih daripada 17,000 peluang pekerjaan.

Sepanjang lebih empat tahun pemerintahan PH, simpanan negeri lebih tinggi daripada yang ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu, mencapai jumlah tertinggi sebanyak RM889.75 juta pada tahun 2020.
Kerajaan negeri juga memperluaskan inisiatif dengan menukar hak milik tanah kediaman daripada pajakan kepada pemilikan kekal di banyak kawasan, termasuk di Gatco di mana penantian peneroka lebih darupada 40 tahun akhirnya ditunaikan.
Selain daripada penambah baikan infrastrutktur kepada penduduk, pelbagai inisiatif langsung juga diperkenalkan kepada penjawat awam, seperti Pinjaman Kenderaan Tanpa Faedah, Pinjaman Komputer Tanpa Faedah, Perumahan Penjawat Awam, dan Bantuan Khas Kewangan (BKK) kepada kakitangan kerajaan negeri setiap tahun sejak 2018.
Ketelusan pentadbiran Menteri Besar juga dibuktikan dengan melaksanakan perolehan kerja melalui undian semenjak 2020 yang memberi manfaat besar kepada kontraktor bumiputera yang kecil tanpa ada monopoli daripada mana-mana pihak.

Dengan rasa besar hati dan bangga, KEADILAN Wangsa Maju diberi tanggungjawab untuk bertugas di Sikamat bersama Ahli Parlimen Wangsa Maju. Ketua Cabang Andre Lai telah mengetuai rombongan mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Ketua Cabang KEADILAN Seremban, Datuk Muhammad Nazri Kassim bersama Datuk Seri Aminuddin sendiri pada 28 Jun lalu, dua hari sebelum notis pembubaran DUN diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Andre Lai optimis dengan kejayaan Menteri Besar bukan sahaja di kerusi Sikamat, malah kerusi-kerusi yang ditandingi KEADILAN di negeri ini.
“Rekod yang baik selama pentadbiran beliau boleh menjadi pemangkin kemenangan Kerajaan Perpaduan Malaysia MADANI di Negeri Sembilan,” katanya.
Sementara menantikan pengumuman SPR berkenaan dengan tarikh PRN serentak di enam negeri, KEADILAN Wangsa Maju tekad memastikan DUN Sikamat yang diamanahkan akan mencapai kejayaan cemerlang seterusnya mengekalkan penguasaan Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

Atas kertas, perancangan dan strategi telah mula disusun tanpa perlu menunggu semboyan daripada SPR kerana kemenangan Datuk Seri Aminuddin penting bagi meneruskan kelangsungan kerajaan rakyat yang kukuh bersama-sama Kerajaan Persekutuan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku ketua kerajaan.
– Andre Lai merupakan Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan. Tulisan beliau tidak mencerminkan pendirian rasmi Harapan Madani.
