PRN 2023: Perikatan Nasional Usah Bermimpi Untuk Tawan Pulau Pinang

Slogan #PenangTryKalih dilihat dingin petanda sambutan rakyat Pulau Pinang terhadap Perikatan Nasional (PN) tidak sampai menggugat penguasaan Kerajaan Perpaduan yang mentadbir sejak tiga penggal lalu. Foto Arkib.
PENDAPAT, 25 Jun – Sebanyak 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) menjadi rebutan gabungan parti-parti politik sama ada Kerajaan Perpaduan bersama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) atau Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di Pulau Pinang.
Daripada jumlah itu, 19 daripadanya merupakan kerusi DUN yang dimenangi sejak 2008 dan kemenangan 100% telah dikuasai oleh calon daripada DAP terutamanya di sebelah pulau.
Secara matematiknya, Kerajaan Perpaduan hanya memerlukan baki dua kerusi sahaja lagi untuk memperolehi majoriti mudah iaitu 21 kerusi dan seterusnya membolehkan Kerajaan Perpaduan akan terus kekal mentadbir negeri ini bagi penggal keempat berturut-turut.
Sementara di kawasan pengundi campuran contohnya, di DUN Bayan Lepas, Teluk Bahang, Bagan Jermal, Sungai Puyu, Sungai Dua, Teluk Air Tawar dan Seberang Jaya, Kerajaan Perpaduan dijangka berpotensi akan memperoleh majoriti undi lebih besar dengan dibantu pengundi daripada UMNO-BN menyokong calon-calon PH sekali gus terus mendominasi kerusi-kerusi DUN di Pulau Pinang.
Keputusan yang dicapai oleh PN semasa PRU ke-15 lalu tidak boleh dijadikan kayu ukur atau penanda aras semasa yang mereka fikir kononnya boleh mengulangi semula keadaan itu apabila ketika itu dengan bantuan fitnah dan sogokan, mereka berjaya memenangi tiga kerusi parlimen yang dahulunya dikuasai oleh Pakatan Harapan dan UMNO-BN iaitu Parlimen Permatang Pauh, Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Latar PRN terkini pun sudah dilihat berbeza yang dianggap padang tidak sama rata malah tidak lagi relevan untuk mengambil kira berdasarkan dapatan keputusan PRU yang lepas memandangkan momentum ‘gelombang hijau’ yang dilihat sekarang ini semakin merudum.
Bukan itu sahaja, gelombang tersebut akan bertukar menjadi gelombang yang akan diterjemahkan sebagai ‘Harapan Perpaduan’ tidak lama lagi. Semasa PRU ke-15, rata-rata pengundi Melayu terutamanya anak-anak muda berumur 18 tahun ke atas mudah terpengaruh dengan propaganda perkauman melampau dan ketakutan yang sengaja dicipta yang dimainkan oleh laskar TikTok berbayar hingga mencetus kegusaran awam, sehingga ke hari ini.
Fitnah dan persepsi jahat PN pada PRU-15 nampaknya mula kendur apabila Dato’ Seri Anwar Ibrahim atau PMX saban minggu turun padang bertemu anak muda menjelaskan polisi dan dasar Kerajaan Malaysia MADANI dan menjawab sebarang persoalan yang diajukan walaupun baru tujuh bulan berkuasa tanpa rehat hujung minggu seperti sebelumnya.

Jadi tidak ada alasan mengapakah pada PRN kali ini keputusannya adalah sebaliknya memandangkan naratif Pakatan Harapan kononnya dikuasai DAP yang dimomokkan sebelum ini ternyata fitnah dan palsu malah sudah tidak relevan lagi.
Pun begitu kebanyakan daripada pengundi 18 tahun ke atas termasuk pengundi atas pagar telah mula sedar dan dapat menerima baik apa yang sedang dilakukan oleh PMX yang terus mendekati dan menyantuni anak-anak muda belia termasuk mahasiswa dalam beberapa siri temu bual bersama PMX di seluruh negara.
Makanya, parti Perikatan Nasional terpaksa akur kerana agak terlalu sukar untuk mereka merampas kerajaan negeri ini daripada Kerajaan Perpaduan. Sebaliknya Kerajaan Perpaduan akan terus mencengkam dan akan memikat semula sokongan di kawasan kerusi DUN yang majoriti pengundinya adalah terdiri orang Melayu.

Namun begitu, jentera pilihan raya Kerajaan Perpaduan diingatkan agar tidak boleh cepat berasa selesa dan hendaklah meneruskan usaha lebih keras lagi untuk bangkit terutamanya di kawasan DUN dalam parlimen Permatang Pauh sebagai menebus maruah akibat kekalahan semasa PRU-15 lalu.
Kendatipun, PN tidak akan mampu untuk merampas Kerajaan Pulau Pinang daripada Kerajaan Perpaduan malah tidak dapat mengulangi ‘pencapaian’ mereka semasa PRU lepas walaupun mendakwa kononnya telah ‘memperolehi’ hampir 20 kerusi dalam tangan.
Konklusinya, pengundi seramai 1,227,483 di negeri ini akan menentukan hala tuju negeri bagi lima tahun seterusnya dan ia bergantung kepada peratusan mereka yang akan keluar mengundi bagi memilih kerajaan baharu Pulau Pinang.
Anak muda terutamanya jangan lagi emosi apabila menonton video di TikTok yang belum pasti kebenarannya dan jangan pula menyebarkannya kepada orang lain kerana pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) akan memantau sebarang kandungan yang memfitnah berkaitan 3R iaitu Race, Religion dan Royal pada PRN kali ini.
Tak pasti, jangan kongsi, nanti merana diri.
Cucu Tok Janggut
