PRK Nenggiri: Peratusan Keluar Mengundi 63.58 Peratus Jam 2 Petang

Pengerusi SPR, Dato Sri Ramlan Harun meninjau proses mengundi di SK Limau Kasturi 1 pukul 12 tengah hari. Foto Kelantan FM

GUA MUSANG, 17 Ogos – Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri mencatatkan 63.58 peratus setakat jam 2 petang, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Peratusan itu sekali gus menyaksikan sasaran SPR yang menjangkakan peratusan keluar mengundi hari ini melebihi 60 peratus telah pun tercapai lebih awal.

Terdahulu, sebanyak 20 pusat pengundian bagi PRK Nenggiri dibuka serentak pada jam 8 pagi ini.

Calon Barisan Nasional, Mohd Azmawi Fikri bin Abdul Ghani hadir mengundi di Pusat Mengundi Tabika Sri Bakawali, Gua Musang pada Sabtu. Foto Kelantan FM

Daripada jumlah pusat pengundian itu, 14 pusat pengundian dibuka sehingga jam 6 petang dan enam pusat pengundian ditutup lebih awal.

Empat pusat mengundi akan ditutup jam 2 petang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tohoi, Pusat Pendidikan Komuniti Pos Gob, SK Sri Permai dan SK Kuala Sungai, manakala dua lagi ditutup 3 petang iaitu Dewan Orang Ramai Pos Simpor dan SK Pulat.

PRK DUN Nenggiri menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon Pas Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Konvoi bermotosikal daripada kalangan penduduk Orang Asal membawa bendera Barisan Nasional (BN) dan calon Mohd Azmawi berarak dari satu kampung ke kampung lain.

Seramai 20,216 pengundi menunaikan tanggungjawab masing-masing hari ini bagi memilih wakil rakyat baharu mereka.

Ini ialah PRK kesembilan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 yang sebelum ini menyaksikan PRK Parlimen Kuala Terengganu (Terengganu); PRK DUN Simpang Jeram dan PRK Parlimen Pulai (Johor); PRK DUN Pelangai (Pahang); PRK DUN Jepak (Sarawak); PRK Parlimen Kemaman (Terengganu), PRK DUN Kuala Kubu Baharu (Selangor) dan PRK DUN Sungai Bakap (Pulau Pinang).


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *