PRK Mahkota: Tiada Perebutan Kerusi Antara Amanah Dan Umno

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke ketika sidang media Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam di Stesen Penguatkuasa JPJ Gombak KM25, Lebuhraya Karak-Kuala Lumpur. Foto Hairul Anuar Rahim
GOMBAK, 6 Ogos – Pakatan Harapan (PH) menyatakan tidak ada perebutan kerusi membabitkan Amanah dan Umno untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Mahkota yang akan berlangsung tidak lama lagi.
Setiausaha Agung DAP Anthony Loke berkata, ini disebabkan pendirian gabungan itu berdasarkan kepada prinsip parti yang menyandang kerusi berkenaan dalam pilihan raya sebelum ini.
“Tak ada perebutan (babitkan Amanah dan Umno). Ini perbincangan. Biasalah, perkara biasa.
“Tapi kita sudah nyatakan pendirian kita (berdasarkan kepada prinsip parti yang menyandang),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media pada Program Pemantauan Operasi Khas Bersepadu Kenderaan Pelancongan dan Kenderaan Perkhidmatan Awam di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini hari ini.
Sebelum ini, Amanah Kluang dilaporkan mendesak supaya parti itu diberi peluang bertanding pada PRK Dun Mahkota yang akan diumumkan, tidak lama lagi.
Ketua Amanah Kluang, Dr Mohd Zuhan Mohd Zain dipetik berkata, ia berikutan parti berkenaan pernah memenangi kerusi Dun Mahkota pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) dan turut bertanding kerusi itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 2022.
Namun, beliau dilaporkan berkata, jika Umno Johor selaku tonggak utama kerajaan negeri bersedia untuk memberi jawatan dalam kerajaan negeri termasuk sebagai Ahli Majlis, ketua kampung dan ketua masyarakat, Amanah bersedia memberi laluan kepada Umno untuk bertanding di kerusi Dun Mahkota.
Susulan itu, Ketua Pemuda Umno Johor, Noor Azleen Ambrose dilapor menyifatkan tindakan Amanah menuntut kerusi Dun Mahkota, sebagai gelojoh dan tamak.
Noor Azleen berkata, Amanah juga dilihat tidak menghormati sensitiviti keluarga dan waris kepada penyandang kerusi Dun itu, Allahyarhamah Datuk Sharifah Azizah Syed Zain yang baru meninggal dunia pada Jumaat lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


