Meta Mohon Maaf Turunkan Hantaran PM Anwar Berkenaan Almarhum Ismail Haniyeh

Semakan mendapati kandungan hantaran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diturunkan pada 31 Julai kini dikembalikan Meta atas faktor ‘kesedaran umum’. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 6 Ogos – Penyedia platform media sosial, Meta Platforms Inc. memohon maaf atas penghapusan hantaran mengenai pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, As-Syahid Al Mujahid Ismail Haniyeh menerusi hantaran di Facebook dan Instagram Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jurucakap Meta berkata, kandungan berkenaan dipulihkan dengan label berita yang betul dan bersesuaian.
“Kami memohon maaf atas kesalahan operasi yang mana kandungan dari halaman Facebook dan Instagram Perdana Menteri telah dipadamkan.

“Kandungan tersebut dipulihkan dengan label berita yang betul,” katanya pada Selasa.
Kerajaan menuntut permohonan maaf daripada Meta kerana menurunkan beberapa hantaran media sosial Anwar berkait Ismail.
Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata, tuntutan itu dibuat ketika Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Salim Fateh Din, bertemu dengan wakil Meta pada Isnin.
Hantaran yang diturunkan Meta termasuk melibatkan kenyataan takziah Anwar kepada pemergian Ismail, selepas pemimpin Palestin itu terbunuh di Teheran, Iran, pada 31 Julai.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

