Presiden Republik Kyrgyz Tiba Di Malaysia Mulakan Lawatan Dua Hari

Pesawat khas yang membawa Zhaparov dan delegasi mendarat di Kompleks Bunga Raya, KLIA pada 6.45 petang. Foto Bernama

SEPANG, 24 Jun – Presiden Republik Kyrgyz Sadyr Zhaparov tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan lawatan rasmi selama dua hari ke negara ini.

Pesawat khas yang membawa Presiden Zhaparov dan delegasi selamat mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) di sini pada 6.45 petang dan disambut Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi selaku menteri pengiring.

Presiden Zhaparov sejurus itu diberi sambutan selamat datang dengan memeriksa barisan kawalan kehormat terdiri daripada 28 pegawai dan anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Istiadat).

Menurut kenyataan Kementerian Luar (Wisma Putra), lawatan berkenaan merupakan julung kali Presiden Zhaparov ke Malaysia sejak memegang jawatan itu pada Januari 2021.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke Republik Kyrgyz pada Mei 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Lawatan itu juga sebagai membalas lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Republik Kyrgyz pada Mei 2024.

Menurut aturcara lawatan, Presiden Zhaparov akan diberikan sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra di Putrajaya esok, disusuli mesyuarat dua hala dengan Anwar.

Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dua hala termasuk perdagangan dan pelaburan, tenaga boleh baharu dan tenaga hijau, industri halal, komoditi pertanian, pelancongan, pendidikan dan bantuan pembinaan kapasiti melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).

Mereka akan menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) dalam bidang pelancongan, transformasi digital dan keselamatan siber, pendidikan tinggi, kesihatan, promosi perdagangan, kerjasama ekonomi serta kerjasama saintifik dan penyelidikan, selain pertukaran nota dalam bidang belia dan latihan untuk diplomat, serta surat hasrat mengenai kerjasama perundangan.

Anwar turut dijadualkan meraikan Presiden Zhaparov dan delegasi dalam majlis makan tengah hari rasmi di Kompleks Seri Perdana.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *