Kajian Merdeka Center: Prestasi PM Anwar, Kerajaan Di Landasan Tepat

Kesungguhan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim memartabatkan kembali imej negara ke persada dunia semakin memperlihatkan kesan positif berdasarkan dapatan terkini Merdeka Center. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PENDAPAT, 24 Jun – Kajian terkini yang dijalankan oleh Merdeka Center pada Mei 2025 menunjukkan hala tuju dan dasar Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semakin diterima baik oleh rakyat.
Menurut laporan yang diterbitkan pada 23 Jun lalu, seramai 55% responden memberikan penarafan kelulusan terhadap prestasi beliau, satu lonjakan ketara berbanding hanya 43% pada Jun 2024.
Ini mencerminkan persepsi umum bahawa kerajaan kini berada di landasan yang betul dengan kestabilan politik bertambah kukuh sejak memperoleh majoriti dua pertiga di Parlimen selepas enam ahli parlimen pembangkang menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri.

Mengulas mengenai dapatan itu, penganalisis politik berpandangan antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan sokongan terhadap Anwar ialah kejayaan memulihkan institusi parlimen melalui pelaksanaan reformasi institusi secara berperingkat.
“Kalau kita lihat pelaksanaan reformasi institusi parlimen yang telah dilaksanakan lebih 70 pindaan akta antaranya Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2024 dan Akta KWSP 2025 jelas menunjukkan Kerajaan Madani serius memulihkan keyakinan rakyat serta memastikan akta lapuk dikemaskini dan ditambah baik.
“Antara yang menjadi penanda aras terbesar adalah pengenalan Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang dilihat sebagai langkah penting ke arah tadbir urus lebih berprinsip dan telus selaras dengan perkembangan semasa tanpa mengetepikan kepentingan rakyat,” jelas Mohd Khairol Iwan Mat Khairi.

Dari segi ekonomi, kemelesetan harga meresap, kadar inflasi rendah pada 1.4% pada Mac 2025, serta pertumbuhan ekonomi positif 4.4% dalam suku pertama, telah membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, disokong oleh dasar seperti kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dan bantuan subsidi semasa perayaan.
Penarafan kelulusan kerajaan persekutuan juga naik kepada 50%, manakala tahap ketidakpuasan turun kepada 48%, berbanding 58% tahun sebelumnya.
Persepsi rakyat mengenai hala tuju negara turut menunjukkan peningkatan positif — jumlah yang percaya negara menuju ke arah yang betul meningkat kepada 43%, sedangkan yang berpendapat sebaliknya menurun daripada 61% kepada 50%.
Hanya beberapa aspek terutama isu ekonomi masih menjadi cabaran utama, apabila seramai 73% responden menyatakan ia masih menjadi masalah terbesar negara dengan inflasi (33%) dan pertumbuhan ekonomi (13%) sebagai kebimbangan utama.

Seorang lagi penganalisis politik, Mohammad Fudhail Samilan turut melihat penarafan isu kos sara hidup masih boleh diperbaiki bagi meningkatkan tahap kepuasan rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2026.
“Kedudukan fiskal negara yang lebih stabil ditambah lagi dengan adaptasi kerajaan menangani isu tarif Amerika Syarikat (AS) bagi mengurangkan kerisauan rakyat, juga antara aspek utama mengapa ‘populariti’ Perdana Menteri meningkat sejak setahun lalu.
“Walaupun cabaran utama kerajaan ialah menangani isu kos sara hidup, langkah proaktif seperti penyasaran subsidi bahan api kepada 90 peratus rakyat dan tarif elektrik yang lebih adil dijangka memudahkan lagi pemahaman rakyat terhadap feformasi ekonomi yang kini menjadi agenda utama kerajaan,” jelasnya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Hamidin Abd Hamid menjelaskan, ia turut menggambarkan keinginan rakyat yang mahukan kestabilan di peringkat kerajaan.
”Kalau kita lihat kepada dapatan kajian yang dibuat oleh Merdeka Center sememangnya ia merupakan satu celahan yang memang memaparkan apa yang dilihat dan dirasai oleh rakyat ketika ini dan boleh diperbaiki dari semasa ke semasa,” jelasnya.
Rata-rata hasil kajian ini dapat diterjemahkan kepada peningkatan momentum positif dalam sokongan rakyat terhadap Anwar dan kerajaannya di tengah usaha memperkasakan reformasi ekonomi dan institusi.
Walaupun masih wujud tekanan berterusan terhadap menangani kos sara hidup, peningkatan penarafan menyokong keyakinan bahawa dasar-dasar di bawah pentadbiran kerajaan sedang menuju ke arah yang betul berbanding kajian yang sama tahun lalu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
