Iran Sedia Tamatkan Serangan Jika Israel Henti Serang Tehran, Palestin – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bercakap bersama Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menerusi perbualan telefon pada 24 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

PUTRAJAYA, 24 Jun – Presiden Iran, Masoud Pezeshkian memaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa negaranya bersedia untuk menghentikan tindakan ketenteraan terhadap Israel sekiranya rejim Zionis itu menghentikan serangan ke atas wilayah Palestin dan Iran.

Masoud menyatakan pendirian itu ketika perbincangan menerusi panggilan telefon antara kedua-dua pemimpin itu, hari ini.

Anwar berkata menerusi perbualan berkenaan, Masoud turut memohon jasa baiknya untuk menyampaikan pendirian itu kepada negara Islam lain supaya tidak terpengaruh dengan naratif berat sebelah, serta memahami konteks sebenar tindakan balas Iran.

“Malaysia pula secara jelas menegaskan pendirian bahawa kita mengutuk sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Gaza dan Iran yang sudah meragut nyawa bukan sahaja rakyat biasa tetapi kepemimpinan tertinggi ketenteraan serta para saintis Iran.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bercakap bersama Presiden Iran, Masoud Pezeshkian menerusi perbualan telefon pada 24 Jun 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

“Tindakan ini melangkaui batas kemanusiaan dan prinsip undang-undang antarabangsa. Sejak tercetusnya konflik ini, Malaysia konsisten dengan pendirian bahawa keganasan bukan jalan keluar.

“Namun, dalam kerangka keadilan sejagat, kami mengakui hak Iran untuk bertindak balas terhadap sebarang bentuk pencerobohan yang mencabuli kedaulatan negaranya.

“Adalah munafik untuk dunia mengiktiraf kekuatan Israel tetapi menolak hak sah Iran untuk mempertahankan diri,” katanya melalui X, hari ini.

Sebelum ini, Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dilaporkan berkata tentera AS melaksanakan serangan udara ‘sangat berjaya’ ke atas tiga tapak nuklear Iran di tengah-tengah kebimbangan terhadap tercetusnya konflik lebih meluas di rantau itu.

Trump berulang kali mengancam untuk mengambil tindakan ketenteraan terhadap Tehran dan menegaskan bahawa AS tidak akan membenarkan Iran memperoleh senjata nuklear, sesuatu yang berulang kali dinafikan Iran.

Dalam pada itu, Anwar berkata Malaysia menyambut baik komitmen Iran untuk mencari jalan damai bersama semua pihak termasuk AS dan Israel, sekiranya syarat keadilan dan kedaulatan dipenuhi.

“Malaysia percaya bahawa hanya melalui rundingan dan diplomasi, penyelesaian menyeluruh dapat dicapai sebagai usaha dan upaya mengelak pertembungan yang berpanjangan,” katanya.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *