Presiden Poland Dirai Dalam Sambutan Rasmi Di Perdana Putra

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menyambut kedatangan Presiden Andrzej Duda (kiri) di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya sempena lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia pada 10 Jun 2025. Foto Astro Awani

PUTRAJAYA, 10 Jun – Presiden Poland, Andrzej Duda yang sedang dalam rangka lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia, diberi sambutan rasmi negara di Kompleks Perdana Putra di sini hari ini.

Ketibaan Duda disambut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim jam 10.05 pagi diiringi dengan persembahan lagu kebangsaan kedua-dua negara.

Selepas itu, Duda diberi penghormatan memeriksa pasukan kawalan kehormatan yang terdiri daripada tiga pegawai dan 103 anggota daripada Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (RRD) diketuai Mejar Nur Ahmad Zaim Zahari.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Poland, Andrzej Duda di luar Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 di Doha pada 14 Mei 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Duda diiringi isterinya, Agata Kornhauser-Duda, serta beberapa menteri kabinet dan pegawai kanan kerajaan Poland.

Turut hadir Isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir serta pegawai kanan kerajaan.

Pesawat khas yang membawa Presiden Duda, isteri beliau Agata Kornhauser-Duda dan delegasinya mendarat di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Sepang pada 8.21 malam 9 Jun 2025. Foto Bernama

Selepas sambutan, kedua-dua pemimpin dijangka mengadakan pertemuan dua hala yang akan membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik termasuk dalam bidang perdagangan dan pelaburan, industri pertahanan, pertanian, sektor halal dan komoditi agromakanan.

Lawatan Duda kali ini berlangsung pada detik penting, selari dengan pelantikan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan Poland selaku Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh pertama tahun 2025.

Kedua-dua pemimpin pernah mengadakan pertemuan di sela-sela Forum Ekonomi Qatar (QEF) di Doha pada Mei tahun lalu.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Presiden Poland, Andrzej Duda di luar Forum Ekonomi Qatar (QEF) 2024 di Doha pada 14 Mei 2024. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Dalam kenyataan Wisma Putra semalam, Duda dalam rangka lawatan tiga hari turut dijadual melawat Rejimen Kedua Kor Armor Diraja di Kem Sunggala, Port Dickson, Negeri Sembilan serta menyampaikan syarahan umum di Institut Asia-Eropah, Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *