Pelarasan SST Tak Beban Pengguna, Sasar Asas Percukaian Lebih Baik Lindungi PMKS

Tiada pengenalan cukai baharu antara reformasi ekonomi kerajaan yang kini memfokuskan kepada pelarasan SST bagi golongan kaya dan berkemampuan sahaja. Foto Arkib

KUALA LUMPUR, 10 Jun – Pengumuman kerajaan yang akan menguat kuasakan pelarasan kadar Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai ini disifatkan langkah ‘menang-menang’ yang sudah pastinya tidak akan membebankan majoriti rakyat.

Sebaliknya ia merupakan langkah reformasi fiskal bersasar bagi memperkukuhkan kedudukan ekonomi negara secara mampan dalam jangka masa panjang.

Beberapa penganalisis berpendapat, langkah yang diumum Kementerian Kewangan (MOF) pada Isnin bertujuan memastikan SST disasar kepada barangan tertentu dan bukan kepada barangan asas seperti beras, gula, minyak dan sebagainya.

“Selaras pengumuman kerajaan ini, saya tidak melihat ia akan membebankan rakyat kerana harga barangan dan perkhidmatan bagi rakyat terbanyak tidak akan terkesan dengan pelarasan ini walaupun sesetengah pihak pasti akan mempolitikkannya (pelarasan SST).

“Malah saya memahami hasrat kerajaan yang mahu memastikan hasil negara dapat digunakan secara lebih efisien bagi pendidikan asas berkualiti, pembangunan infrastruktur rakyat, meningkatkan kualiti kesihatan luar bandar serta memfokuskan kebajikan rakyat dalam masa sama mengurangkan defisit fiskal negara,” jelas penganalisis ekonomi, Mohammad Safwan Abdul Halim.

Seorang lagi penganalisis tampil menjelaskan pelarasan SST ini bertujuan meningkatkan kemampanan ekonomi negara termasuk melindungi Perusahaan Mikro dan Sederhana (PMKS) tanpa membebankan rakyat dengan cukai baharu seperti dakwaan sesetengah pihak sebelum ini.

“Tidak ada pengenalan cukai baharu, yang ada hanyalah penyelarasan cukai bagi perkhidmatan kurang penting seperti kecantikan dan cukai terhadap pelajar luar negara (pelajar tempatan tidak dikenakan sebarang cukai) termasuk perlindungan kepada PMKS secara berterusan.

“Keadaan ini memastikan ‘kesihatan’ ekonomi negara terus dipelihara seiring dengan cabaran ekonomi global seperti tarif Amerika Syarikat (AS) dan perubahan iklim yang akan menjejaskan rantaian bekalan makanan termasuk Malaysia,” ujar Jame Stephen.

Terdahulu Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan menegaskan pelarasan SST ini tidak tertakluk kepada barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, susu bayi, serta beberapa perkhidmatan penting seperti kesihatan, pendidikan dan pengangkutan awam.

“Antara langkah utama termasuk pelaksanaan Cukai Perkhidmatan (CP) sebanyak lapan peratus terhadap perkhidmatan kewangan berasaskan fi atau komisen, perkhidmatan kecantikan bernilai lebih RM500,000 setahun dan perkhidmatan sewaan atau pajakan yang melebihi ambang hasil RM500,000 setahun,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, kadar CP sebanyak enam peratus pula dikenakan terhadap kerja pembinaan dengan nilai ambang mencecah RM1.5 juta bertujuan membantu kontraktor kecil dan sederhana.

Perkhidmatan jagaan kesihatan swasta pula akan dikenakan CP enam peratus khusus untuk bukan warganegara, manakala rakyat tempatan terus dikecualikan.

“Bagi sektor pendidikan, CP hanya dikenakan ke atas pendidikan swasta prasekolah, rendah dan menengah jika yuran tahunan melebihi RM60,000 seorang, manakala CP turut dikenakan ke atas pengajian tinggi bagi pelajar bukan warganegara. Pelajar tempatan dikecualikan sepenuhnya,” katanya.

Sementara itu, bagi Cukai Jualan (CJ), kerajaan mengekalkan kadar sifar ke atas barangan keperluan asas. Kadar CJ sebanyak lima atau 10 peratus hanya dikenakan terhadap barangan pilihan (premium) dan bukan keperluan.

Pelbagai pengecualian turut disediakan termasuk CP bagi sewaan bangunan kediaman, bahan bacaan, pajakan kewangan, aset di luar negara serta transaksi perniagaan ke perniagaan (B2B).

Kontrak yang tidak boleh disemak semula turut diberi pengecualian CP selama 12 bulan bagi mengelakkan cukai berganda.

Pengecualian juga diberikan kepada PMKS yang mencatat pendapatan kurang daripada RM500,000 setahun, serta perkhidmatan kewangan asas seperti perbankan asas dan pembiayaan syariah berasaskan faedah atau keuntungan.

Pendekatan ini selaras dengan prinsip keadilan sosial di mana hanya golongan yang mempunyai kemampuan tinggi dikenakan cukai tambahan, manakala rakyat kebanyakan terus dilindungi daripada kesan langsung pelarasan tersebut.

Ini sejajar dengan matlamat reformasi fiskal yang bukan sahaja untuk menambah hasil negara malah juga untuk memastikan sistem percukaian negara lebih progresif dan berhemah.

Kerajaan berharap dengan langkah ini, Malaysia dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara secara lebih berdaya tahan, sambil memastikan kesejahteraan rakyat terus terbela.

Nikmatnya nanti dapat dilihat apabila rakyat terus menerima pelbagai bantuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) dalam menangani kos sara hidup menjelang pembentangan Belanjawan 2026 pada Oktober depan.

Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *