Presiden Palestin Rakam Ucapan Terima Kasih Kepada Kepimpinan Dan Rakyat Malaysia

Presiden Palestin Mahmoud Abbas bertemu Mohamad pada sesi pembukaan Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi pada Ahad. Foto Facebook Mohamad Haji Hasan.

RIYADH, 29 Apr – Presiden Palestin Mahmoud Abbas mengucapkan terima kasih kepada kepimpinan dan rakyat Malaysia yang sentiasa menyokong perjuangan rakyat Palestin.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu dizahirkan Abbas ketika mereka bertemu di Sidang Plenari Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Sedunia (WEF) di sini pada Ahad.

“Beliau minta sampaikan salam terima kasih rakyat Palestine kepada seluruh rakyat Malaysia,” menurut Mohamad dalam catatan di laman Facebooknya.

Beliau kini berada di Riyadh untuk mengiringi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengetuai delegasi negara menghadiri Mesyuarat Khas WEF yang bermula pada Ahad hingga hari ini.

Presiden Palestin Mahmoud Abbas bertemu Mohamad pada sesi pembukaan Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi pada Ahad. Foto Facebook Mohamad Haji Hasan.

Menerusi satu catatan berasingan, Mohamad turut berkongsi mengenai pertemuan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Luar Pakistan Mohammed Ishaq Dar di WEF.

“Dalam perbincangan, kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat agar Malaysia dan Pakistan mengukuhkan lagi hubungan dua hala melalui kerjasama sedia ada dan meneroka bidang kerjasama lain yang berpotensi.

“Saya juga sempat mengucapkan tahniah kepada Ishaq Dar atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri Pakistan berkuat kuasa semalam,” kata Mohamad.

Mohamad (kiri) mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar Pakistan merangkap Timbalan Perdana Menteri Pakistan Ishaq Dar di Mesyuarat Khas Forum Ekonomi Dunia (WEF) di Riyadh, Arab Saudi.

Sementara itu, Kementerian Luar Pakistan dalam hantaran di platform X berkata pemimpin negara itu telah mengkaji semula hubungan dua hala dan bersetuju untuk menggalakkan pertukaran peringkat tinggi antara Pakistan dan Malaysia.

Menurut hantaran itu, Pakistan dan Malaysia juga bersetuju untuk memperluas kerjasama dalam perdagangan dan ekonomi, budaya serta pertukaran rakyat dengan rakyat semasa mesyuarat itu. – BERNAMA


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *