Kotak Hitam Insiden Pulau Angsa Dihantar Ke Itali Untuk Analisis – Saifuddin Nasution

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menyantuni kanak-kanak dan ribuan rakyat pada majlis rumah terbuka anjuran Ahli Parlimen Selayang William Leong baru-baru ini. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
PUTRAJAYA, 29 Apr – Kotak hitam helikopter Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) yang melakukan pendaratan cemas di sekitar perairan Pulau Angsa, Kuala Selangor bulan lalu, sudah dihantar ke Itali untuk dianalisis.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata kotak hitam helikopter AW139 itu dihantar ke negara pengeluarnya berikutan terdapat kesan kerosakan yang memerlukan kepakaran syarikat berkenaan.
“Misi mencari kotak hitam sudah ditemui dan Maritim Malaysia membuat keputusan menghantar kotak hitam itu terus ke Itali, kerana (helikopter) Agusta itu keluaran (syarikat di) Itali.
“Kita temui ada sedikit kesan kerosakan yang memerlukan kotak hitam itu dianalisis syarikat pengeluar dan ia adalah lebih selamat untuk kita tahu rakaman yang dirakam kotak hitam terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga Maritim Malaysia di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dan Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Datuk Saiful Lizan Ibrahim.
Dalam kejadian 5 Mac lalu, pesawat yang diterbangkan oleh Leftenan Komander (M) Tengku Mohd Nizam Tengku Zakaria dan disertai Leftenan Komander (M) Mohamad Azrol Saidi bersama kru udara Pegawai Waran I (M) John Ibno serta perenang penyelamat Bintara (M) Muhamad Nurhayyat Hashim terpaksa melakukan pendaratan cemas ketika menjalani latihan menyelamat namun tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.
Bagaimanapun, usaha mencari kotak hitam pesawat itu berdepan kesukaran akibat arus deras di dasar laut, selain jarak penglihatan di dalam air yang terhad akibat dasar laut berlumpur.
Kota hitam terbabit akhirnya ditemui pada 17 April lalu, 44 hari selepas insiden itu berlaku.
Ditanya bila hasil analisis itu akan diperoleh, Saifuddin berkata, ia mungkin mengambil sedikit masa.

“Kotak hitam baru sahaja dihantar (ke Itali), mungkin akan ambil sedikit masa, dalam tempoh yang munasabah, tetapi dari semasa ke semasa Maritim Malaysia akan diberi maklum oleh pihak berkenaan,” katanya.
Mengulas mengenai Ops Khas Pagar Laut, Saifuddin berkata, Maritim Malaysia berjaya melakukan sebanyak 175 penahanan setakat ini dengan nilai rampasan berjumlah RM15 juta.
“Ops Khas Pagar Laut ini sudah memasuki empat fasa dan sepanjang tempoh operasi ini, sebanyak 175 tangkapan dibuat membabitkan rampasan bernilai RM15 juta.
“Ini menunjukkan pentingnya walaupun di musim perayaan sekali pun, keselamatan perairan negara tetap dijaga,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
