Polis Siasat Kenyataan Umany Gesa Mansuh Program Matrikulasi

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
KUALA LUMPUR, 16 Sep – Polis menyiasat satu kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) yang menggesa program matrikulasi sebagai laluan kemasukan ke universiti awam dimansuhkan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata siasatan itu dibuat selepas pihaknya menerima empat laporan polis daripada pihak yang tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut.
“Kenyataan tersebut dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam.
“Kenyataan berkenaan didapati boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara, mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat dan kegentaran awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Kumar, kes itu disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan iaitu mengeluarkan kenyataan yang mendatangkan khianat awam dengan niat hendak menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.
Menurutnya, kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
“Polis tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan akan menjalankan siasatan sewajarnya mengikut peruntukan undang-undang.
“Orang ramai dinasihatkan sentiasa berhemah dan bertanggungjawab dalam mengeluarkan sebarang kenyataan di ruang awam dan media sosial,” katanya.
Semalam, Persekutuan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dilaporkan membuat beberapa laporan polis di seluruh negara terhadap Umany berhubung kenyataannya mengenai program matrikulasi dan menggesa ia disiasat atas dakwaan hasutan, antara lain.

Umany mencetuskan kontroversi minggu lalu selepas mengeluarkan kenyataan yang mencadangkan sistem matrikulasi digantikan dengan STPM sebagai satu-satunya standard kemasukan ke universiti awam.
Presidennya, Tang Yi Ze, berkata silibus STPM adalah lebih baik kerana lebih mencabar dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Bagaimanapun, pada Sabtu, Umany menjelaskan bahawa pihaknya tidak berniat menggesa pemansuhan program matrikulasi, sebaliknya mencadangkan penggabungan program itu dengan STPM sebagai kelayakan kemasukan universiti.
Umany turut mengakui penggunaan perkataan ‘mansuh’ dalam kenyataan pada Jumaat menimbulkan kekeliruan dan menyinggung pihak tertentu.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web


