Jiwa MADANI: Merapatkan Jarak, Merajut Makna Malaysia Yang Sebenar

Malaysia MADANI adalah pemerintahan yang memahami bahawa untuk membina sebuah negara yang benar-benar makmur, kita harus membina jalan raya dan jambatan yang tidak hanya menghubungkan tempat, tetapi juga menghubungkan hati dan peluang.
PENDAPAT, 16 Sep – Setiap 16 September, kita tidak sekadar mengingati tarikh di mana Persekutuan Malaysia terbentuk. Kita menyambut hari di mana semangat Malaysia yang sebenar disatukan—semangat yang tidak hanya wujud pada peta, tetapi dalam hati rakyatnya, dari Perlis ke Johor, dari Kuala Lumpur merentas Laut Cina Selatan ke wilayah Sabah dan Sarawak.
Di serata dunia, berita-berita sering memaparkan perpecahan, konflik, dan wilayah-wilayah yang bergelut untuk berintegrasi. Namun, di sini, di bawah naungan Malaysia MADANI, kita menulis naratif yang berbeza. Naratif yang bukan tentang menjarakkan, tetapi tentang merapatkan. Bukan tentang memisahkan, tetapi tentang menyatupadukan.
Falsafah Malaysia MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah memberikan nafas baru dalam hubungan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Aspirasi ini mengakui dengan penuh hormat dan ikhlas bahawa kekuatan Malaysia terletak pada keunikan setiap bahagiannya.

Ini adalah pemerintahan yang memahami bahawa untuk membina sebuah negara yang benar-benar makmur, kita harus membina jalan raya dan jambatan yang tidak hanya menghubungkan tempat, tetapi juga menghubungkan hati dan peluang.
Langkah berani memulihkan hak wilayah laut dan mempercepatkan pemindahan kuasa kepada Sabah dan Sarawak seperti termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukan sekadar tindakan pentadbiran. Ia adalah isyarat penghormatan yang mendalam, mengiktiraf sejarah dan autonomi yang menjadi teras persekutuan kita. Tidak pernah dalam sejarah wilayah Sabah dan Sarawak diberi tumpuan seperti mana yang dilaksanakan oleh PMX.
Namun di saat-saat rakan kita dari Borneo menunjukkan semangat kenegaraan, digoncang pula negara kita dengan ketaksuban puak-puak yang masih ingin menganggu ketenteraman negara yang telah kita nikmati. Insiden bendera terbalik membawa fobia kepada rakyat Malaysia sehingga ada yang takut menggantung jalur gemilang di luar rumah mereka.

Beberapa hari yang lalu, terkeluar berita seorang ketua polis daerah diserang dengan batu oleh remaja dan lebih mengejutkan, PMX diugut dengan ancaman nyawa dalam satu video ceramah yang diwar-warkan baru-baru ini.
Di Sabah & Sarawak, tiada kedengaran isu kepuak-puakkan, tiada isu bangsa dan negara, tiada isu memperkerdilkan pemimpin negara – sesuatu yang kita harus belajar daripada mereka dalam mengamati erti Hari Malaysia.
Pada hari yang bersejarah ini, marilah kita melihat dengan penuh harapan dan semangat pada apa yang telah kita bina bersama. Sementara kita melihat dengan sedih pada konflik yang melanda negara-negara lain, lihatlah betapa kita bebas untuk meraikan perbezaan. Bahkan saya selalu berkongsi, amat menepati definasi reformasi meraikan ‘unity in diversity’ – kesatuan di dalam kepelbagaian.

Malaysia dibentuk pada 16 September 1963 dengan wilayah Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu. Kita telah melalui 62 tahun sebagai sebuah keluarga. Selamat Menyambut Hari Malaysia. Bersama MADANI, Kita Malaysia.
Lai Chen Heng,
Naib Pengerusi KEADILAN Wilayah Persekutuan,
Ketua CAbang KEADILAN Wangsa Maju
“Bersamamu, Wangsa Maju”
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
