PL: Slot Akui Liverpool ‘Bernasib Baik’ Tewaskan Burnley

Arne Slot mengakui jaringan penalti Mohamed Salah menyelamatkan Liverpool daripada kebuntuan berdepan Burnley di Turf Moor pada 14 September 2025. Foto Liverpool FC
LONDON, 16 Sep – Arne Slot mengakui pasukannya bernasib baik untuk mencatatkan kemenangan tipis 1-0 ke atas Burnley pada aksi di Turf Moor, kelmarin.
Aksi tersusun yang dipamerkan Burnley hampir memberikan rasa kecewa buatnya, namun beliau pastinya lega untuk melengkapkan rekod 100 peratus kemenangan Liverpool dalam empat aksi awal Liga Perdana Inggeris (PL).
“Burnley hampir mendapatkan satu mata, tetapi saya tidak mahu mengatakan perkara negatif. Ia adalah aksi sukar sehingga kami hampir percaya bahawa perlawanan ini akan berakhir dengan keputusan seri.

“Kami cuba memasukkan pemain yang boleh membantu jentera serangan. Kami memperoleh sepakan penalti dan sebelum jaringan itu berlaku, kami juga memiliki peluang terbaik menerusi Jeremie Frimpong,” katanya.
Burnley hilang seorang pemain apabila Lesley Ogochukwu dilayangkan kad merah di hujung permainan hingga menyaksikan Liverpool memperoleh gol kemenangan menerusi sepakan penalti Mohamed Salah.
Pada perlawanan itu juga menyaksikan Slot tidak menurunkan penyerang baharu, Alexander Isak yang dianggap belum lagi bersedia untuk memikul tanggungjawab dengan The Reds.

“Aex masih belum bersedia dan kami tidak percaya dengan memberikannya bermain sebentar adalah cara terbaik untuk membantunya. Jika dia bermain 45 minit pada aksi Liga Juara-Juara, jangan harap dia akan dapat tempoh sama ketika bertemu Everton.
“Ini kerana badannya belum lagi bersedia untuk hadapi tiga perlawanan dalam seminggu,” katanya.
Empat perlawanan musim baharu semuanya hasil kemenangan saat-saat akhir membuktikan The Reds bukan sekadar bernasib baik tetapi menjadikan kelab lain lebih berwaspada terhadap serangan pada masa kecederaan.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
