Polis Limbang Mohon Tambah Perjawatan, Kemudahan Pondok Polis

Parum (kiri), Sulaiman, Liong bersama pegawai-pegawai kanan polis Limbang mendengar sesi dialog bersama masyarakat. Foto ihsan PDRM Limbang

LIMBANG, 1 Nov – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Limbang sedang memohon untuk menambah perjawatan pegawai dan anggota selain kemudahan pondok polis di kawasan luar bandar di daerah itu.

Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata penambahan perjawatan dan kemudahan pondok polis itu dikemukakan dalam kertas kerja mengenai hala tuju PDRM Limbang.

Katanya, kertas kerja itu akan dibentangkan di ibu pejabat polis jabatan itu pada 10 November ini nanti untuk perhatian dan tindakan selanjutnya.
 
“Kita ada buat satu kertas hala tuju dimana buat masa ini nisbah penduduk bagi daerah Limbang satu anggota polis bersamaan dengan 226 penduduk kampung dan tidak mencapai nisbah yang ditetapkan oleh Polis Antarabangsa.

“Kita telah memohon perjawatan pada masa akan datang dan kertas kerja itu akan dibentang di ibu pejabat pada 10  November ini, termasuk mengusulkan kemudahan satu pondok polis di kawasan Hulu Medamit dan kawasan Limpaku Pinang,” katanya.

Parum (kiri), Sulaiman, Liong bersama pegawai-pegawai kanan polis Limbang mendengar sesi dialog bersama masyarakat. Foto ihsan PDRM Limbang

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Town Hall Discussion 2023 di Dewan Serbaguna Kampung Pahlawan pada Isnin.

Hadir sama Pegawai Daerah Limbang Sulaiman Engal dan Timbalan Ketua Polis Daerah DSP Liong Tindan.
 
Sementara itu, katanya Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Limbang mengeluarkan data statistik untuk jenayah kekerasan membabitkan dua kes yang sering terjadi iaitu kes rogol dan saman tanpa senjata.
 
“Dua (kertas siasatan) kes rogol telah dibuka pada tahun 2022 dan dua kes juga dibuka pada tahun 2023.

“Manakala, bagi kes samun tanpa senjata melibatkan satu kes pada tahun 2022 dan satu kes pada tahun 2023, untuk makluman hadirin semua, semua pelaku telah ditangkap dan telah dijatuhkan hukuman oleh pihak mahkamah,”ujarnya.
 
Katanya lagi, Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Limbang pula merekodkan sebanyak 241 kes membabitkan 253 tangkapan pada 2022.
 
Manakala sebanyak 273 kes membabitkan 281 tangkapan dibuat pada tahun ini.


Ikuti kami di saluran media sosial berikut:

Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *