Polis Bantuan Bekal Dadah Dalam PUSPEN Dipecat – KDN

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail hadir pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni bersama Menteri Dalam Negeri Tahun 2026 anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di PUSPEN Bachok, Kelantan pada 1 Mac 2026. Foto AADK
BACHOK, 1 Mac – Seorang daripada tiga anggota polis bantuan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang dikesan membekalkan dadah kepada klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang, Kedah, sudah dipecat daripada perkhidmatan pada Oktober tahun lalu, kata Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Menterinya Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula memberitahu, dua lagi anggota berkenaan akan dipanggil ke Lembaga Tatatertib esok untuk tindakan lanjut yang juga proses akhir siasatan.

Katanya, hasil siasatan mendapati kakitangan yang sudah ditamatkan perkhidmatan itu bukan sahaja membekalkan dadah kepada klien, malah dia sendiri turut positif dadah sebelum dipecat pada Oktober lalu.
“Kesalahan yang mereka lakukan adalah serius diibaratkan ‘harapkan pagar, pagar makan padi.

“Malah, tindakan terhadap ketiga-tiga kakitangan itu bukan dibuat secara tergesa-gesa susulan laporan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), sebaliknya siasatan dalaman AADK sudah dimulakan sejak November 2024.
“Kesalahan berkenaan mengambil masa dan melalui prosedur tertentu. Dua anggota polis bantuan berkenaan sudah dipindahkan ke AADK Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Bersahur Sempena Program Penerapan Nilai-Nilai Murni di PUSPEN Bachok, pagi ini.
Turut hadir, Ketua Pengarah AADK, Datuk Ruslin Jusoh.
Media sebelum ini melaporkan, Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mendedahkan berlaku pelanggaran arahan oleh pegawai ketika bertugas di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Serdang sehingga membawa kepada 47 klien disyaki positif dadah jenis methamphetamine.

EAIC dalam kenyataan berkata, siasatan dijalankan selaras Subseksyen 27(4) Akta EAIC 2009 [Akta 700] susulan aduan diterima.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk hasil siasatan kepada pihak berkuasa tatatertib Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dengan syor hukuman tatatertib mengikut Peraturan 38 Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [PU(A) 395/1993].
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
