PNKP Tuntut Pengerusi Parti Sosialis Malaysia Buat Permohonan Maaf

Dr. Michael Jayakumar. Foto Facebook
KUALA LUMPUR, 7 Feb – Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) menuntut Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Michael Jeyakumar Devaraj, membuat permohonan maaf atas dakwaan memfitnah.
Perkara itu dinyatakan PKNP selaku plaintif dalam penyataan tuntutan susulan saman difailkan melalui firma guaman, MahWengKwai & Associates, terhadap Jeyakumar sebagai defendan, di Mahkamah Tinggi, di sini, 31 Januari lalu.
PKNP mendakwa, kenyataan berunsur fitnah dibuat Jeyakumar adalah melulu dan berniat jahat bertujuan memalukan serta menimbulkan kebencian terhadap perbadanan berkenaan.

Dakwanya lagi, ia juga menyebabkan kemudaratan dan kerosakan reputasi perniagaan PKNP sebagai sebuah koperasi, yang membawa kepada penghinaan orang awam.
“Sidang media, video dan penerbitan dalam media sosial (kenyataan Jeyakumar) secara keseluruhan apabila dilihat, didengar serta dibaca oleh orang awam, difahami bermaksud PKNP pecah amanah rakyat, khususnya di Perak.
“PKNP juga (dikatakan) secara tidak sah, kejam dan secara paksa mengeluarkan ladang di tanah walaupun terdapat perintah mahkamah, serta tidak menghormati dan menghina mahkamah.
“PKNP (turut didakwa) degil, tidak kompeten dan tidak faham akibat melanggar perintah mahkamah serta tidak mempunyai integriti dan beroperasi melebihi undang-undang, selain kedaulatan undang-undang tidak terpakai pada PKNP,” dakwanya.
Justeru, PKNP mendakwa, kepercayaan dan kredibiliti pihaknya terjejas akibat penerbitan kenyataan berunsur fitnah berkenaan.
“PKNP mengalami kehilangan keyakinan daripada bakal pelabur, rakan kongsi perniagaan dan rakyat Perak, selain perbadanan ini yang berbangga dengan pembangunan sosioekonomi juga menerima tindak balas negatif daripada orang awam.
“PKNP juga hilang kepercayaan pekerjanya dan ia menjejaskan semangat mereka, serta kehilangan kelebihan daya saing berbanding syarikat lain di Perak,” dakwanya lagi.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
