PN Makin Berantakan Lepas Samsuri Letak Jawatan?

Peletakan jawatan Samsuri sudah pasti ada kaitan dengan pelantikan Azmin biarpun cuba dinafikan PN yang dilihat mula berantakan dari dalam, sedikit demi sedikit.
MINDA PENGARANG, 12 Dis – Situasi Perikatan Nasional (PN) dikatakan semakin hari semakin berantakan selepas tindakan secara mengejut Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar melepaskan jawatan sebagai Bendahari Agung gabungan itu pada Rabu.
“Saya ingin memaklumkan kepada semua bahawa saya, Ahmad Samsuri Mokhtar telah menghantar surat peletakan jawatan sebagai bendahari agung PN hari ini (Rabu),” kata menteri besar Terengganu itu menurut berita daripada lidah pembangkang dalam kenyataan ringkas kepada barisan kepimpinan Pas.
Samsuri yang lebih dikenali dengan Dr Sam tidak menyatakan sebab peletakan jawatan itu dan PN juga belum mengeluarkan kenyataan rasmi namun dijangka akan menjawab isu berkenaan dalam masa terdekat.

Menurut beberapa penganalisis yang mengulas ringkas menebak apa sebenarnya yang berlaku dalam gabungan itu, hampir pasti kelihatan mereka semakin lemah berdepan Kerajaan Perpaduan yang semakin hari semakin menampakkan keserasian menerajui pentadbiran Putrajaya.
Pemergian Samsuri bukan sekadar menimbulkan persoalan tentang kestabilan organisasi dalaman pembangkang terutama selepas pemilihan Bersatu yang menimbulkan kontroversi akibat ‘kompromi’ jawatan yang melucukan, malah melebarkan spekulasi tentang pertembungan antara Pas dan Bersatu sejak kebelakangan ini.
Amat jelas keputusan Samsuri ini boleh dilihat sebagai satu langkah yang mencerminkan ketegangan atau ketidaksetujuan dalam kalangan kepimpinan tertinggi PN menyusun kembali jawatan utama biarpun tidaklah diyakini sejauh mana keberkesanannya.

Apakah ia ada kaitan dengan pelantikan Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung PN menyebabkan Samsuri ‘menarik diri’ daripada memegang jawatan dalam gabungan itu?
Walaupun Azmin berpengalaman dalam politik dan pentadbiran namun amat jelas dia tidak disenangi di kalangan pemimpin Pas kerana Bersatu terus mendominasi jawatan utama termasuk Pengerusi, Setiausaha Agung, Ketua Penerangan malah Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) juga dibolot mereka.
Tambahan pula, Azmin juga dipalit latar belakang kontroversi semasa dalam kerajaan tebuk atap mungkin mencabar kepercayaan ahli gabungan, terutama daripada pihak yang mempunyai pandangan berbeza tentang peranan beliau dalam politik negara.
Kesan kepada masa depan PN akan bergantung kepada sejauh mana kedua-dua pemimpin ini dapat menyelesaikan perbezaan dalam kalangan ahli gabungan dan memastikan kestabilan dalam pengurusan kewangan serta strategi politik.
Oleh itu, peletakan jawatan Samsuri dan pelantikan Azmin memberi petunjuk tentang betapa rapuhnya kestabilan dalaman PN yang mungkin mempengaruhi persediaan menghadapi PRU ke-16 kelak.
Jangan pula lupa pada 22 November lalu, Mursyidul Am Pas, Hashim Jasin dalam satu kenyataan, menegaskan parti itu lebih layak memimpin PN sekali gus menolak cadangan supaya Muhyiddin Yassin kekal sebagai calon perdana menteri gabungan itu.
Bekas Pesuruhjaya Pas Perlis itu juga dipetik berkata, parti itu layak memimpin kerana wakilnya paling ramai di Dewan Rakyat dalam PN yang diterajui Muhyiddin dan mempunyai jentera akar umbi kuat di seluruh negara.

Tegasnya lagi seperti dilaporkan Utusan Malaysia, meskipun pemimpin Pas hanya timbalan dalam PN, namun rekodnya di Parlimen dilihatnya lebih ke hadapan, selain kerja-kerja masyarakat dan dalam apa juga yang berlaku.
Ini saja sudah menunjukkan bahawa Pas sebenarnya ‘abang besar’ dalam PN dan bukannya Bersatu yang hanya menumpang kekuatan parti itu di saat pengaruh mereka semakin terhakis di kubu kuat mereka sendiri.
Nah, sudah terang lagi bersuluh, apakala mereka masih tercari-cari ramuan untuk menggugat Kerajaan Perpaduan, nampaknya PN pula yang berkecamuk luar dan dalam dek kerana mempertahankan seorang pengkhianat yang diberi tempat ‘istimewa’ namun hala tuju entah ke mana selepas kalah teruk pada PRK DUN Mahkota.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

