‘Budak Perempuan 12 Tahun Jual Bahan Lucah Di WhatsApp’ – KDN

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika menjawab soalan waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat pada 19 Ogos 2025. Foto Facebook Saifuddin Nasution Ismail
KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Jenis ‘perniagaan’ menjual bahan lucah menerusi aplikasi dalam talian WhatsApp didalangi kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun berjaya dibongkar pihak berkuasa, dedah Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail di Dewan Rakyat hari ini.
Ketika menjawab soalan asal Sabri Azit (PN – Jerai), Menteri Dalam Negeri berkata, kegiatan itu ditumpaskan polis pada tahun ini menerusi kerjasama rentas kementerian.
Menurutnya, kanak-kanak terbabit mencipta laman web lucah berkenaan dan berpakat dengan empat rakan.

“Pada 2025, kita bongkar, tumpaskan pula geng budak sekolah. Itu tentunya dengan kerjasama kementerian berkaitan. Umur baru 12 tahun. Yang buat laman sesawang ini budak perempuan umur 12 tahun. Pakat dengan kawan-kawanya empat orang.
“Group (kumpulan) WhatsApp (mengandungi) ramai… 762 orang. Masing-masing ambil gambar, bahagian tubuh masing-masing kemudiannya jual.
“Dia berhenti sekolah sebab jumlah pendapatannya untuk sebulan jauh lebih tinggi, lebih besar daripada pendapatan ibu bapanya. Jadi buat apa dia nak (pergi) sekolah lagi,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Sabri mengemukakan pertanyaan mengenai sejauh manakah Kementerian Dalam Negeri (KDN) melakukan penyeragaman dan penyelarasan dengan kementerian lain untuk membendung lebih awal isu jenayah swinger dalam talian bagi mengelak ia berakar menjadi budaya.
Mengulas lanjut, Saifuddin mengakui timbul isu ketika mengendalikan kanak-kanak terbabit jenayah kerana tertakluk kepada pelbagai undang-undang.
Antaranya, beliau berkata kanak-kanak terbabit itu tidak boleh dibawa ke mahkamah terbuka.

“Jadi bagaimana kita ambil tindakan. Undang-undang kita pelbagai. Kalau kita nak ambil tindakan terhadap mereka ini, SUHAKAM akan kata mereka ini baru kanak-kanak.
“Satu bab lain apa akan jadi pada masa depan mereka? Bagaimana tindakan kita boleh ambil? Jadi dalam melaksanakan penguatkuasaan, bila kita jumpa kes macam ini, jelas sekali kita tetap kena dapatkan pandangan dari pelbagai agensi lain. Itu cara modus operandi,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
