PMQT: Kerajaan Tak Rayu Pemberian 40 Peratus, Hanya Teliti Alasan Penghakiman – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 13 November 2025. Foto YouTube Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 13 Nov – Kerajaan Persekutuan memutuskan tidak membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu mengenai tuntutan 40 peratus hasil bersih yang dikutip dari negeri Sabah, jelas Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Kerajaan hanya akan merayu terhadap alasan penghakiman berkenaan yang dianggap mengandungi kecacatan atau kenyataan yang tidak tepat dari sudut perundangan.
Perdana Menteri menjelaskan, keputusan itu dibuat selepas penelitian menyeluruh oleh Jemaah Menteri dalam mesyuarat khas pada 11 November lalu, yang turut mendengar taklimat daripada Peguam Negara dan meneliti penghakiman mahkamah.

Katanya, keputusan untuk tidak merayu terhadap pemberian khas dibuat kerana ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan merupakan hak negeri Sabah.
“Saya jelaskan sekali lagi, tidak ada rayuan dalam isu pemberian khas, noktah.
“Yang dibangkitkan sekarang ialah apa yang kita maksudkan kekhilafan dalam penghakiman iaitu kerana alasan penghakiman ini pada fahaman kita itu, banyak yang terlanjur yang bukan dalam bidang perundangan.
“Umpamanya alasan penghakiman antaranya mendakwa kajian semula pemberian khas yang dibuat selepas 2021 menyalahi undang-undang dan tidak rasional, malah mengaitkan kesilapan besar yang dibuat oleh kerajaan sejak 1974.,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Paya Besar, Datuk Mohd Shahar Abdullah mengenai implikasi keputusan kerajaan untuk tidak merayu terhadap pemberian khas 40 peratus hasil Sabah, tetapi sebaliknya merayu atas alasan kecacatan dalam isu lain, di Dewan Rakyat, hari ini.
Anwar menjelaskan, rayuan hanya akan difailkan terhadap alasan penghakiman yang menyebut keputusan kerajaan sejak 1974 sebagai tidak mengikut perlembagaan, tidak rasional dan tidak sah dari segi prosedur.
“Ini bermakna kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir sehingga sekarang dan kerajaan negeri di bawah pimpinan Tun Datu Mustapha, Tun Fuad Stephens sehingga sekarang, Ahli Parlimen dalam kerajaan sejak 1974 sehingga sekarang semuanya diputuskan sebagai terlanjur, menyalahi undang-undang tidak wajar dari segi prosedur dan mengabaikan tanggungjawab kepada negeri Sabah.

“Ini satu keputusan yang sangat serius dan sebab itu saya harap Ahli Parlimen semuanya membaca alasan penghakiman.
“Kenyataan-kenyataan yang kita anggap tidak selaras dan tidak tepat harus dirayu,” tambahnya.
Beliau menegaskan rayuan terhadap alasan penghakiman itu tidak menjejaskan pelaksanaan pemberian khas 40 peratus hasil yang dijamin kepada Sabah.
Anwar turut menjelaskan proses rundingan teknikal akan dimulakan walaupun Sabah kini dalam tempoh pilihan raya, namun keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas kerajaan negeri baharu dibentuk.
Perdana Menteri menekankan kerajaan sentiasa komited menghormati hak negeri Sabah dan Sarawak, sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
