PMQT: PM Anwar ‘Turun’ Sendiri Dengar Pandangan Pembangkang, Tiada Yang Terpinggir

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sesi Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) ketika Mesyuarat Kedua, Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 28 Ogos 2025. Foto Parlimen
KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentang Datuk Seri Anwar Ibrahim bulan lalu bukan sahaja menerima pandangan dan cadangan daripada kementerian dan agensi kerajaan, malah beliau sendiri turun padang mendapatkan maklumat daripada pemimpin negeri termasuk ditadbir pembangkang.
Ketika menjelaskan pertanyaan ahli parlimen Jelebu, Datuk Seri Jalaluddin Alias, Perdana Menteri mendedahkan negeri-negeri ditadbir pembangkang juga menyalurkan maklumat berkenaan projek-projek pembangunan yang dipohon bagi dimasukkan ke dalam RMK13 itu.
Ini sekali gus mematahkan tohmahan pembangkang kononnya Kerajaan MADANI meminggirkan negeri pembangkang sedang hakikatnya, negeri itulah yang menerima lonjakan signifikan peruntukan setiap tahun termasuk menerusi Belanjawan MADANI tiga tahun berturut-turut.
“Umpamanya Sabah, kalau kita lihat 2022 ketimbang 2025, untuk perbelanjaan pembangunan itu peningkatan agak mendadak. Dari RM5.2 bilion naik RM6.7 bilion. Sarawak dari RM4.7 bilion pada 2022 naik kepada RM5.9 bilion.
“Terengganu daripada RM1.4 bilion naik RM1.8 bilion. Kelantan RM2.4 bilion kepada RM3.2 bilion. Kedah, daripada RM1.6 bilion kepada RM2.2 bilion dan Perlis, daripada RM0.4 bilion kepada RM0.6 bilion,” katanya.
“Bagi mempersiapkan RMK13 dan belanjawan, saya turun ke negeri-negeri, ‘Anwar Turun’, tetapi ke negeri untuk mendengar dan kemudian atas permintaan Menteri Besar termasuk Kelantan, Terengganu, Perlis dan Kedah mereka cadangkan beberapa keutamaan.

“Kadang-kadang berbeza dengan keutamaan Persekutuan dan Kementerian Kewangan, tetapi saya ubah suai dan beri jaminan, satu dua keutamaan yang negeri pilih kita akan terima dan insya-Allah saya akan umumkan dalam belanjawan Oktober ini,” kata Anwar.
“Umpamanya kalau di Sarawak dicadangkan pusat kanser yang mulanya tiada dalam perancangan kita, tetapi Sarawak kata tidak apa, kita mulakan dengan RM1 bilion dan kerajaan Persekutuan akan bayar kemudian.
“Hal-hal seperti ini kita teruskan berdasarkan keutamaan yang ditetapkan oleh negeri, sama juga yang kita buat di Johor, Kelantan dan negeri-negeri lain,” ujar Anwar.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web

