PMQT: Kerajaan Beri Jaminan Kawal Dasar, Kerangka Ekonomi Susulan Pengukuhan Ringgit – PM Anwar

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat pada 27 Januari 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
KUALA LUMPUR, 27 Jan – Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan, Malaysia akan memastikan beberapa dasar dan kerangka ekonomi dikawal, dengan menjaga keupayaan mengawal penurunan defisit dan meneruskan usaha menarik pelaburan asing susulan pengukuhan ringgit.
Ketika sesi Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri berkata setakat ini, ringgit menunjukkan kesan positif kepada pasaran Malaysia selepas sekian lama mata wang itu melemah dan ia dapat dilihat dalam peningkatan angka ekonomi serta keyakinan pelabur.

“Saya setuju bahawa, sebaiknya jika ada pilihan, ringgit itu harus mengukuh secara berhemah, perlahan, tetapi ini kadang-kadang di luar jangkaan. Keyakinan pelabur itu tidak dapat dikawal sepenuhnya.
“Saya tidak fikir jika keadaan kekuatan ringgit sekarang terlalu menjejaskan, tapi dalam keadaan biasa, apabila ringgit mengukuh, ada kesan positifnya, ada sedikit yang membimbangkan kerana ia terkait dengan eksport dan import barangan.

“Bagaimanapun, pada keseluruhannya, jika kita lihat, tidak ada negara yang mahu nilai mata wang mereka merosot dan rendah, luar daripada kekuatan yang sepatutnya dipertahankan,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) sama ada pengukuhan berterusan ringgit ketika ini dapat dipertahankan pada tahun ini, selain apa faktor pengukuhan mata wang negara itu dan kesannya kepada import eksport, kemasukan pelaburan asing serta rakyat.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) sama ada kekuatan ringgit mampu menggerakkan lebih banyak kaunter di Bursa Malaysia untuk aktif, berbanding 1,650 kaunter setakat ini, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, menegaskan kerajaan dan sistem ekonomi sedia ada tidak campur tangan dalam urusan pasaran saham.
“Itu bukan teori ekonomi Yang Berhormat, itu teori ekonomi lapuk. Mana mungkin kerajaan dan sistem sekarang campur tangan dalam urusan pasaran saham.

“Pasaran saham itu kukuh kerana dianggap bebas dan berintegriti. Sebaik saja kerajaan mula campur tangan, maknanya sistem itu dikompromi.
“Secara umumnya, pasaran saham itu dilihat dari keseluruhan, tidak pada setiap kaunter. Jadi, saya cadangkan Yang Berhormat pandai pilih kaunter,” katanya.

Mengenai harga barangan yang dikatakan tidak turun walaupun jumlah kemasukan barangan meningkat berikutan pengukuhan ringgit, Anwar, berkata terdapat sedikit kenaikan harga, namun secara keseluruhannya, ia terkawal.
“Kita ukur ketimbang perkembangan di semua negara, dengan negara jiran. Jika berlaku sedikit kenaikan, harus diambil tindakan oleh kerajaan, umpamanya melalui beberapa suntikan dana tambahan, SARA (Sumbangan Asas Rahmah) atau STR (Sumbangan Tunai Rahmah).
“Ini dianggap sebagai campur tangan untuk mengurangkan tekanan harga barang,” katanya.
Ikuti kami di saluran media sosial berikut:
Facebook
X (Twitter)
Instagram
Telegram
TikTok
WhatsApp Channel
Laman Web
